Keris telah dikenali sebagai salah satu warisan peninggalan manusia yang berbentuk kebendaan secara turun temurun sejak dahulu kala lagi. Keris yang telah melalui perkembangan fungsi juga mempunyai nilai-nilai kehidupan yang diterapkan dan ditafsirkan secara halus menurut falsafah keris itu sendiri. Namun, pemahaman yang cetek telah mengaburkan nilai-nilai yang lebih mendasar pada keris itu sendiri. Jadi tidak hairanlah jika keris telah disalah guna pakai untuk tujuan yang tidak elok.

 

Kuasa Mistik Luar Biasa Keris

 

Selain berfungsi sebagai alat persenjataan, ia telah menjadi azimat kepercayaan nenek moyang terdahulu malahan ianya masih lagi diguna pakai sehingga kini. Keris mempunyai kesaktian sendiri sesuai dengan tujuan pembuatannya.

Namun penyataan ini disangkal keras kerana cara pembuatan keris secara luarannya adalah lebih kurang sama. Akan tetapi, yang membezakannya keris yang dipercayai mempunyai kuasa sakti ini telah “diisi” dengan makhluk ghaib sesuai kemahuan pemilik. Oleh demikian, keris telah dianggap mistik dalam masyarakat melayu.

 

Seperti yang telah diceritakan oleh seorang penulis dalam kajiannya,

“Banyak keris yang mempunyai keistimewaan tertentu yang dapat ditunjukkan kepada orang lain. Misalnya, saja keris singkir api yang dapat memadamkan api. Keris singkir angin yang dapat meredakan angin badai dan hujan. Ada keris yang mempunyai bayangan yang lebih dari satu bila dikenai sinar matahari. Ada juga yang dapat berdiri di atas kaca rata tanpa bersandar pada sarungnya atau apapun.”

 

Dalam pada itu, kesaktian keris telah disokong dengan penggunaan barangan seperti besi kuning, rantai babi dan batu mestika merah delima. Pada kebiasaanya, kesaktian keris ini diperlukan untuk mengalahkan pihak lawan dalam menguasai ilmu kebal.  Namun, ilmu kekebalan seseorang boleh dilenyapkan dengan penggunaan racun dalam pembuatan keris tersebut. Maka berhati-hatilah.

Ini boleh disimpulkan bahawa kesaktian dan kemistikan keris berbeza-beza mengikut jenis-jenis tujuan dan kekuasaan makhluk ghaib itu sendiri.

 

Kepercayaan Karut Masyarakat Melayu

 

Menurut kepercayaan Melayu Tradisional, keris telah dianggap sebagai “azimat dan tangkal”. Ianya telah digunakan dalam tujuan perubatan ilmu ghaib dan menolak kuasa jahat. Berbeza pula dengan masyarakat Jawa yang menganggap keris sebagai “tosan aji’ yang membawa maksud “senjata yang mempunyai kuasa ajaib” serta digunakan sebagai tangkal atau tuah dan dijadikan sebagai pendinding diri.

Bagi masyarakat Bugis pula, keris dikatakan sebagai “polo besi” yang membawa maksud sebagai “senjata pusaka atau besi mulia dan bernilai”.

Selain itu, ianya turut diguna untuk upacara pemujaan yang masih lagi diamalkan oleh sesetengah bomoh pada masa kini.

Image result for keris dimandikan limau

Upacara memandikan keris

Malah tidak dinafikan, keris juga berperanan sebagai “penjaga” susur galur keluarga yang dianggap  harta pusaka bagi sesetengah keluarga yang berpegang kuat kepada adat dan nenek moyang.

Budaya seperti ini telah dipengaruhi sebelum kedatangan Islam yang mengandungi kefahaman-kefahaman animisme oleh masyarakat tradisional yang terlalu berpegang kuat pada agama nenek moyang.

 

Image result for limau keris

Upacara memandi bunga

 

Contohnya, kepercayaan karut lain seperti jika seseorang meletakkan keris dibawah bantal selama dua minggu dan dipercayai akan adanya kuasa yang akan menenggek pada keris tersebut. Keris ini kemudian digunakan sebagai pengantara untuk mustajab doa memperoleh kekayaan.

Segalanya itu adalah khurafat dan sangat membahayakan keselamatan si pengamal dan ahli keluarganya. Ikatan perjanjian dengan syaitan ini boleh menyebabkan banyak masalah keberkatan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Kemistikan dan keghaiban kuasa yang ada pada keris boleh mengundang kepada kebinasaan kepada si pemiliknya malah lebih parah lagi jika ianya jatuh ke tangan orang yang salah dan tidak bertanggungjawab. Seperti sihir dan saka contohnya. Ia boleh merosakkan perpaduan manusia sejagat.

 

Apabila Al-Quran Berbicara

Kebergantungan selain kepada pemilik kuasa yang mutlak iaitu Allah, telah menyebabkan seseorang itu dianggap syirik dan boleh mempesongkan akidah seseorang. Mempercayai dan menyakini keris mempunyai kuasa mistik adalah menyamai dengan menyekutukan Allah.

Inilah matlamat syaitan dan iblis yang akan terus menyesatkan anak-anak Adam lebih-lebih lagi tanpa asas akidah yang kukuh. Allah swt berfirman dalam Surah Al-Hadid ayat ke 25,

“Dan  Kami ciptakan besi yang ada padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia.”

Allah berfirman lagi dalam Surah Ash-Shaffat ayat ke 69 hingga 74,

“Sesungguhnya nenek moyang mereka itu dalam keadaan sesat. Kemudian mereka dengan segera (meniru) jejak-jejak mereka itu. Padahal sesungguhnya kebanyakan orang-orang dulu sebelum mereka telah sesat dan kepada mereka telah Kami utus beberapa nabi yang bertugas untuk menyedarkan (munzirin). Kerana itu, lihatlah betapa akibatnya orang-orang yang diancam itu! Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan.”

Maka, janganlah kita termakan dengan tipu daya sesuatu yang diperkatakan mempunyai kekuatan yang luar biasa. Sebaliknya, nilailah dari sudut ketaatan dan ketakwaan agama serta syariat perlaksanaannya dengan menjadikan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah sebagai kayu ukur serta panduan dalam mentafsir pegangan.

 

Tanggapan Moden Yang Salah Terhadap Keris

 

Mentaliti konservatif yang beranggapan keris sebagai alat yang mempunyai unsur-unsur kesaktian dan kemistikan tidak lagi relevan dalam era globalisasi. Hal ini demikian kerana tujuan asal  keris bukanlah diguna pakai semata-mata untuk perkara-perkara sedemikian sebaliknya untuk sebagai alat persenjataan, simbol status, simbol kekuasaan, karya seni dan sebagainya.

 

 

Tidak dinafikan terdapat juga keris yang mempunyai kuasa mistik, tetapi ianya tidak boleh digeneralisasikan kepada semua jenis keris. Kesaktian keris sebenarnya banyak bergantung kepada pemilik si keris untuk menentukan tujuan sesebuah keris itu direka cipta.

 

Cara Penjagaan Mudah Tanpa Unsur Mistik

 

Secara umumnya, keris bersifat logam yang mudah terkena karat. Oleh sebab itu, keris memerlukan cara penjagaan yang rapi untuk mengelakkan dan mengurangi bahaya karat pada permukaan keris tersebut.

Terdapat empat langkah mudah untuk memelihara keris ini seperti bentuknya yang asal:

 

#1   Diberikan minyak

Untuk mengelakkan dan menghilangkan karat pada keris, minyak diperlukan untuk menjaga bentuk asal keris. Minyak yang digunakan adalah jenis minyak yang mempunyai kekentalan yang tinggi dan memiliki bau harum yang awet. Minyak misik dan minyak zafaron telah digunakan untuk mencegah karat dan untuk menampilkan pamor pada permukaan keris itu.

 

#2   Dilakukan pembersihan

 

Air limau yang bersifat asid telah digunakan untuk menghilangkan serbuk karat yang masih melekat pada permukaan keris serta membersihkan dan membilas minyak telah digunakan pada proses sebelumnya.

 

#3   Dilakukan warangan

Warangan merupakan teknik pemanasan untuk membersihkan kotoran yang terlekat pada keris dengan membakarnya sehingga menjadi suhu yang tertentu.

Berikut ini adalah cara membuat larutan untuk Warangan Keris ( Larutan Marangi Keris) Cukup 10 gram batu warangan di tumbuk halus.

#4   Disimpan diruang yang khusus

Tempat penyimpanan keris haruslah strategik yang jauh dari jangkauan kanak-kanak. Tempat yang sesuai untuk menyimpan keris adalah didalam almari. Kedudukan keris pula harus berdiri tegak dengan gagang berada pada bahagian  atas dan hujung keris berada dibawah.

Perkongsian Pemilik Galeri Warisan Nusantara

Tuan Haji Rusnan bin Ngadio adalah merupakan pemilik Galeri Warisan Nusantara yang terletak di Sungai Pusu Gombak. Galeri ini telah memiliki lebih 5000 koleksi keris yang baharu.

Dalam proses penjagaan keris-keris beliau, tiada unsur-unsur perasapan atau pemujaan yang telah dibuat. Beliau amat bertegas dengan pegangan agama Islam dan menolak bid’ah serta ajaran sesat dan khurafat yang boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau berkongsi pernah menggunakan spray WD40 untuk mengelakkan karat pada besi keris dan meminyakkan sarung dan hulu keris agar kayunya kelihatan berkilat dan tidak mudah reput.

 

Image result for wd40 spray for keris Image result for furniture polish

 

Selain itu, Tuan Haji kerap membacakan keseluruhan Surah al-Baqarah di tempat penyimpanan keris-keris tersebut agar tidak terdapat penumbang di tempat yang jarang dialihkan barangannya.

Beliau percaya bahawa tiada makhluk yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan dengan izin Allah swt.

Tuan Haji juga memperingatkan kita agar mengamalkan doa-doa di dalam al-Ma’thurat dan ayat-ayat ruqyah sebagai pelindung diri dari kejahatan.

 

Peliharalah Budaya Bangsa

Mentaliti konservatif terhadap keris yang mempunyai unsur-unsur alam mistik haruslah dihapuskan. Ianya tidak relevan lagi untuk dipraktikkan. Sebaliknya, peliharalah budaya bangsa yang satu ini sejajar dengan perintah Al-Quran dan Hadith.

Mentaliti kelas ketiga ini hanyalah mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan keluarga, serta boleh menjadi faktor terbesar kepada kepupusan warisan budaya dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya.