Berita gempar untuk seluruh warga UIAM khususnya apabila pihak pengurusan universiti telah menggantikan logo keris telah mendapat banyak perhatian orang ramai.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Gombak telah menukar replika keris yang terletak dihadapan pintu masuk utama dengan arca mushaf Al-Quran. Arca keris yang sebelum ini menjadi logo kebanggaan UIAM telah ditukar kepada Mushaf Al-Quran yang lebih sesuai dengan pembawakan identiti UIAM yang mendapat jolokan sebagai Universiti Islam Antarabangsa.

Sebelum replika keris, sebuah tugu yang menyerupai huruf Alif sebagai simbolik kepada Iqra telah menjadi mercu tanda UIAM.

Replika keris ini telah “berkhidmat” menjadi identiti universiti ini sejak 2014!

PELBAGAI REAKSI

Berita ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya golongan pelajar. Rata-ratanya mereka tidak bersetuju dengan penukaran ini kerana mereka berpendapat bahawa “duit perbelanjaan” ini boleh digunakan untuk menyelesaikan isu-isu kebajikan pelajar UIAM.

Ada juga yang berpendapat, perkara seperti ini hanya menjurus kearah pembaziran wang.

Namun segala pendapat ini telah disangkal baik oleh Presiden UIAM Datuk Dr Daud Bakar. Beliau menjelaskan bahawa kos perbelanjaan untuk mengantikan replika keris ini adalah hasil sumbangan derma yang telah diperolehi dan ditanggung oleh beberapa individu dan agensi. Ia juga turut tidak membabitkan bajet UIAM.

REPLIKA AL-QURAN SEBAGAI LOGO UIAM

Penukaran replika keris ke replika mushaf Al-Quran ini merupakan satu detik yang bersejarah di bawah pengurusan presiden baharu ini. Malah ia lebih signifikasi apabila ia ditukarkan pada sama tarikh dengan kelahiran Baginda Nabi Muhammad.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa replika Al-Quran ini merupakan replika asal dalam logo UIAM yang kini menjadi mercu tanda baharu untuk seluruh warga UIAM!

Jadi tidak hairanlah jika pihak UIAM mempertimbangkan untuk meletakkan mushaf Al-Quran sesuai dengan logo asalnya.

Beliau juga turut mengatakan bahawa falsafah Al-Quran ini lebih tepat dan bersesuaian dengan asal-usul genesis UIAM.

Replika mushaf Al-Quran yang terbuka telah membawa pengertian yang menjadi simbol yang paling tepat bagi fraterniti keilmuan. Keadaannya yang terbuka seolah-olah melambangkan penadahan dan permohonan ilmu serta hidayah dari langit untuk pembangunan dan kelestarian pembinaan masyarakat sejagat.

Bukan itu sahaja, replika ini lebih bersesuaian dengan institusi pembelajaran ini kerana “nature”nya sebagai pusat pendidikan. Lagipun, dalam agama Islam, Al-Quran telah diangkat sebagai kitab panduan yang memberi penyelesaian dan impak dalam semua aspek kehidupan.

KERIS DIBUANG?

Monumen keris ini mungkin tidak sesuai lagi dengan hala tuju UIAM pada masa sekarang ini. Monumen ini yang berkait rapat dengan adat budaya masyarakat Melayu ini telah mencetuskan pelbagai spekulasi dari banyak pihak.

Tidak sesuai untuk diulas dengan lebih lanjut mengenai perkara itu disini kerana sentimen pelbagai pihak haruslah dijaga untuk kemaslahatan bersama.

Replika keris ini telah dipindahkan dan diletakkan di tapak warisan yang menjadi sumber rujukan pelajar Kuliyah Seni Bina dan Reka Bentuk (KAED). Ianya dialihkan kira-kira 200 meter daripada tempat asal.

Jangan bimbang kerana arca keris ini tidak dibuang malah diletakkan ditempat yang sesuai dengan kehebatannya.

Mungkin ini hadiah istimewa yang disediakan daripada pihak UIAM kepada para graduan untuk menyambut hari graduasi yang akan berlangsung pada 23 sehingga 26 November 2019 ini.