SEJARAH NEGERI JOHOR

Johor merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia. Asal-usul Johor disebut juga sebagai “Ujung Tanah”.

Ujung Tanah yang membawa maksud kawasan ini terletak dihujung tanah semenanjung.

Selain itu, “Hujung Medini” juga merupakan nama lain bagi Johor pada ketika negeri ini dibawah naungan Majapahit.

Namun, kedua-dua nama ini bersesuaian dengan Johor kerana sememangnya terletak di kawasan hujung Semenanjung Malaysia.

 

7 SENJATA YANG DIGUNAKAN PADA ZAMAN KESULTANAN MELAYU JOHOR

Sama seperti kerajaan lain yang ada di Nusantara ini telah merekacipta dan menggunakan pelbagai alatan senjata untuk memerangi pihak musuh.

Penggunaan senjata di zaman Kesultanan Melayu Johor tidaklah jauh berbeza dengan penggunaan senjata di negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.

Senjata yang biasa digunakan dalam masyarakat Melayu khususnya di masyarakat Melayu Johor selain keris adalah seperti berikut:

 

#1 Badik

Badik merupakan senjata pendek tradisional Melayu digunakan untuk membela diri dan kegunaan seharian seperti memotong daging, bawang dan menyembelih.

Selain itu, ia juga merupakan senjata pendek kegemaran masyarakat Melayu terutamanya di kepulauan Sumatera dan Jawa.

 

#2 Tumbuk Lada

Dikatakan bahawa tumbuk lada berasal dari Sumatra. Senjata ini dianggap istimewa yang hanya dipakai oleh pembesar negeri.

Seperti di Negeri Sembilan, ia menjadi senjata utama dalam majlis adat istiadat dan menjadi elemen pelengkap pakaian rasmi diraja.

Di zaman Kesultanan Melayu Johor, senjata ini telah digunakan secara meluas sebagai alat untuk mempertahankan diri dan senjata peperangan.

Hal ini telah dibuktikan dalam catatan sejarah peperangan Johor.

Tumbuk lada ini juga digunakan dalam seni silat sendeng.

 

#3 Pedang

Fungsi pedang selain daripada memancung orang yang didapati bersalah, ia juga merupakan alat untuk mempertahankan diri, alat kebesaran diraja dan warisan turun temurun.

Menurut Gardner, terdapat dua kategori pedang, pedang lurus dipanggil chenangkas dan bengkok dikenali sebagai shamsir.

Kedua-dua jenis pedang ini diinspirasikan daripada seni pertukangan India yang menjadi panduan kepada tukang-tukang senjata Melayu untuk menghasilkan pedang di Tanah Melayu ini.

Selain itu, sejenis pedang lain atau dikenali sebagai pedang Jenawi yang dipercayai berasal dari negeri matahari terbit.

Pedang ini telah dibawa masuk oleh mubaligh-mubaligh Jepun pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda.

 

#4 Kelewang

Berasal dari Indonesia terutamanya dikawasan Sumatera Barat, Aceh dan Bali.

Di Eropah, kelewang dipanggil sebagai “bastard sword”.

Manakala disemenanjung Malaysia, kelewang sangat terkenal dengan penggunaannya di Timur.

Senjata ini telah dikenali sebagai Golok Jambu atau Kelewang Kelantan di Kelantan.

 

#5 Lembing

Lembing merupakan senjata yang bermata besi yang boleh diradakkan atau dibaling dari jarak jauh mahupun dekat.

Lembing atau juga dikenali sebagai tombak telah digunakan untuk memerangi musuh.

Lembing dipercayai telah digunakan semenjak tahun 1800-1900an di Tanah Melayu.

Antara jenis-jenis lembing ialah lembing benderang, lembing rambu, lembing sagang dan lembing segara.

Selain fungsi untuk memerangi musuh, bilah lembing juga digunakan untuk perhiasan dalam rumah.

 

#6 Meriam

Meriam telah digunakan sebagai alat pertahanan sejak kurun ke 15 hingga 19.

Ramai pengkaji Melayu telah mempercayai bahawa meriam ini telah berasal dari Brunei, Minangkabau dan Acheh.

Jenis-jenis meriam seperti rentaka, lela dan ekor lotong telah dijadikan sebagai warisan budaya yang sering dipaparkan di muzium-muzium serta juga digunakan sebagai hiasan di rumah-rumah kenamaan.

Di semenanjung Malaysia, negeri Terengganu dan Johor merupakan pembuat meriam bermutu. Meriam merujuk kepada alat peperangan yang menunjukkan penggunaaan yang bersilih ganti.

 

#7 Tekpi

Tekpi merupakan senjata yang sering dijumpai di Malaysia. Rekabentuknya telah dipengaruhi oleh agama Hindu yang telah bertapak sebagai kerajaan awal di Tanah Melayu.

Tekpi masih digunakan secara meluas di Johor. Hal ini telah dibuktikan dengan penggunaan tekpi dalam seni silat sendeng.

Fungsi tekpi ialah untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh. Ia digunakan untuk menghadang dan menikam secara menghunus kehadapan musuh.

 

WARISAN TERULUNG

Senjata-senjata ini teleh digunakan secara meluas ketika empayar Johor mempertahankan negaranya daripada serangan musuh.

Kebanyakan senjata-senjata ini sudah lagi tidak diguna pakai atas dasar relevansi dengan keadaan semasa yang jauh lebih canggih ciptaannya daripada sebelum ini.

Banyak muzium atas usaha kerajaan Negeri Johor telah memelihara dan memulihara aset-aset penting negeri ini seperti di Muzium Kota Tinggi.

 

Rujukan
Buku Senjata-Senjata Zaman Kesultanan Melayu Johor