Kebiasaannya kita banyak akan mendengar kisah pendekar pahlawan Melayu berbanding srikandi pahlawan Melayu.

Cerita tentang pendekar telah “overshadow” tentang cerita srikandi yang semakin terkubur ini.

Dengan kedatangan zaman moden yang serba canggih ini telah menjadi racun yang mematikan kisah srikandi-srikandi ini.

Tidak dinafikan kanak-kanak sekarang lebih mengenali Cindarella, Elsa dan Anna berbanding kisah srikandi pejuang bangsa sendiri.

Ayuh kenali 7 srikandi pahlawan Melayu yang tidak dikenali oleh orang ramai.

 

#1 Tun Fatimah

Kisah Tun Fatimah pernah difilemkan dalam filem Melayu berjudul Tun Fatimah yang dilakonkan oleh primadona Melayu, Maria Menado.

Tun Fatimah merupakan anak perempuan Bendahara Tun Mutahir. Beliau dikatakan seorang srikandi yang mempunyai paras rupa yang jelita.

Walaupun mempunyai wajah yang indah, kisah hidupnya tidak begitu indah apabila ahli keluarga termasuk suaminya, Tun Ali telah dibunuh angkara fitnah.

Tun Fatimah juga pernah menjadi rebutan Sultan Mahmud walaupun ketika itu Tun Fatimah berstatus isteri orang.

Namun, Sultan Mahmud berjaya mengahwini Tun Fatimah setelah mengetahui cerita sebenar.

Perkahwinan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata, salah seorangnya ialah Sultan Alauddin Riayat Shah II yang telah memerintah negeri Johor selama 36 tahun.

 

#2 Tun Kudu

Tun Kudu merupakan puteri kepada Tun Perpatih Sedang. Tun Kudu mempunyai dua orang saudara perempuan yang bernama Tun Perak dan Tun Perpatih Putih.

Tun Kudu telah berkahwin dengan Sultan Muzaffar Syah yang pada ketika itu baru sahaja menaiki takhta selepas rampasan kuasa terhadap Sultan Abu Syahid dan Raja Pekan.

Namun perkahwinan yang tidak lama kerana dia telah diceraikan supaya dia dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja Tun Ali iaitu bapa saudara Sultan Muzaffar Syah.

Peranan besar yang telah dilakukan oleh Tun Kudu ialah mendamaikan pergeseran antara Tun Ali dengan Tun Perak.

Kedua-dua ini mempunyai talian kekeluargaan, Tun Ali merupakan suami dan Tun Perak ialah adik kandung kepada Tun Kudu. Tun Kudu telah memainkan peranan supaya Tun Perak dilantik menjadi Bendahara Melaka.

 

#3 Tun Teja

Tun Teja atau nama sebenarnya ialah Tun Teja Ratna Benggala merupakan anak perempuan tinggal Bendahara Seri Amar Diraja yang berasal dari Pahang.

Pada ketika itu adalah zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah sezaman dengan Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka.

Diceritakan bahawa Tun Teja mempunyai wajah yang cantik yang menjadi sebutan ramai orang. Khabar kecantikan Tun Teja telah sampai ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah.

Baginda yang baru sahaja kematian isteri lantas mengutus utusan diraja untuk meminang ke Pahang namun telah ditolak disebabkan oleh pertunangan Tun Teja dengan Sultan Pahang.

Kisah Tun Teja ini telah dicatatkan dalam dua hikayat Melayu Lama, iaitu dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

 

#4 Puteri Saadong

Mariam atau nama sebenarnya Puteri Saadong binti Raja Loyor merupakan anak angkat kepada Che Siti Wan Kembang. Puteri Saadong telah memerintah Kelantan sekitar tahun 1667-1671.

Beliau merupakan keturunan Raja Jembal, atau Raja Loyor bin Raja Sakti. Beliau juga menggunakan gelaran Puteri Vijaya Mala.

Baginda telah dibawa oleh Cik Siti Wan Kembang ke Bukit Marak setelah kematian ibunya.

Pada tahun 1667, ayahandanya Raja Jembal telah mangkat lalu ditabalkan Puteri Saadong sebagai Sultan Kelantan. Baginda telah menjadi raja kedua perempuan selepas Cik Siti Wan Kembang.

Puteri Saadong telah berkahwin dengan Raja Abdullah yang juga merupakan sepupunya setelah mendapat perkenan daripada Cik Siti Wan Kembang. Baginda telah berkahwin seawal umur 15 tahun!

Puteri Saadong telah ditangkap oleh tentera Siam untuk dijadikan permaisuri kepada Raja Narai. Raja Abdullah telah berjanji untuk tidak berkahwin dan menunggu kepulangan baginda.

Namun, setelah bertahun-tahun menunggu, Raja Abdullah telah membuat keputusan untuk berkahwin lain.

Sekembalinya Puteri Saadong ke Bukit Marak untuk berkahwin semula namun mendapati belas suaminya itu telah berkahwin dengan perempuan lain.

Kerana rasa marah yang mendalam, baginda telah membunuh Raja Abdullah dengan keris sanggul yang tersemat dirambutnya.

Selepas kejadian itu, Puteri Saadong hilang tanpa jejak.

 

#5 Puteri Gunung Ledang

Puteri Gunung Ledang merupakan legenda negeri Johor. Sejauh mana kebenaran itu, tidak dapat dibuktikan.

Walaubagaimanapun, kisah puteri ini sering mendapat perhatian ramai pihak.

Puteri Gunung Ledang menjadi kegilaan Sultan Mahmud Shah kerana kecantikannya. Sultan Mahmud telah menghantar rombongan meminang ke Gunung Ledang.

Kitab Sulalatus Salatin telah menceritakan tentang permintaan yang luar biasa dan pelik daripada Puteri Gunung Ledang.

Permintaan ini telah dipenuhi oleh Sultan Mahmud kecuali darah putera baginda. Ini telah menyebabkan perminangan ini tidak dapat diteruskan.

Puteri Gunung Ledang juga sering dikaitkan dengan penyamarannya yang bertukar menjadi seorang nenek kebayan.

 

#6 Puteri Walinong Sari

Puteri Walinong Sari ini merupakan seorang srikandi yang berasal dari negeri Inderapura yang sekarang dikenali sebagai Pahang.

Srikandi ini juga mempunyai rupa paras jelitawan. Rupa yang indah ini telah menyebabkan kemenangan beradu tenaga selama tiga hari tiga malam yang menewaskan Putera Mambang Segara dari Gunung Tahan.

Akibat melihat wajahnya yang rupawan, sang putera telah jatuh pengsan.

Disebabkan peristiwa ini, Raja Laksamana Petir sangat murka lalu menghilangkan sang putera itu. Ingin dijadikan cerita, sang puteri telah mencari cinta hatinya di Gunung Tahan dan tidak pernah pulang sejak itu.

Selain itu, Puteri Walinong Sari juga handal mengendalikan lembing dan pedang serta pandai bersilat.

Kisahnya ada dirakamkan di sebuah lagu rakyat Pahang nyanyian Siti Nurhaliza.

 

#7 Che Siti Wan Kembang

Che Siti Wan Kembang ialah seorang raja wanita yang telah memerintah negeri Kelantan pada awal abad ke 17 seperti dicatatkan Hikayat Seri Kelantan.

Anak kepada Sultan Ahmad ini telah kehilangan ayahnya setelah kemangkatan ayahandanya seawal usia mudanya 4 tahun lagi.

Sekitar tahun 1610, Che Siti Wan Kembang telah ditabalkan menjadi Raja Kelantan selepas Sultan Hussein mangkat.

Pada zaman pemerintahannya, negeri Kelantan telah berkembang maju dalam pelbagai sektor termasuklah pertanian dan perdagangan.

Simbol kijang yang ada pada jata negeri ini dikatakan oleh sebab minatnya terhadap binatang ini lalu telah diukir pada setiap mata wang negeri.

Kesimpulannya, srikandi-srikandi ini merupakan puteri-puteri yang  tahu seni mempertahankan diri serta cekap mengendalikan senjata tradisional yang pernah ada di sejarah Alam Melayu.