Filem terbaru arahan Shamsul Yusof bertajuk “Mat Kilau” bakal ditayangkan pada tahun 2020 nanti.

Filem yang bertemakan budaya tradisional masyarakat Melayu ini memaparkan watak-watak kepahlawanan Melayu yang telah mengenakan 10 bilah keris dari pihak Warisan Nusantara, antaranya Dato’ Jalaludin Hasan yang mengenakan keris Branggah Solo atau Surakarta yang berasal dari Jawa.

Penerbit filem ini dikatakan telah berjumpa terlebih dahulu dengan waris-waris Mat Kilau sebelum membuat skrip lakonan bagi filem ini.

Kisah hidup Mat Kilau ini telah mula difilemkan mulai April 2018 dan bakal diterbitkan oleh Studio Kembara.

Ia diarahkan oleh pelakon-pengarah pemenang anugerah Syamsul Yusof, dibintangi oleh Ady Putra sebagai Mat Kilau.

Biopik Mat Kilau turut dijayakan oleh Fattah AminBeto KusyairyJohan As’ariFarid AmirulA. Galak, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan bintang baru, Ali Karimie.

Shahruddin berkata, kisah itu ialah ‘untold story’ yang belum pernah didedahkan dan rakyat Malaysia perlu mengetahuinya.

“Ia juga memaparkan kesusahan, pengorbanan dan kebijaksanaan Mat Kilau merancang melawan pihak musuh. Selain itu, ia turut menceritakan pembabitan pihak yang berjuang bersama bukan saja dalam kalangan pahlawan, tetapi sukarelawan dan ahli agama yang sama-sama mahu membebaskan tanah air daripada penjajah,” katanya.

Siapakah Mat Kilau?

Mat Kilau adalah merupakan tokoh pahlawan Melayu yang banyak berjasa. Beliau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.

Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Hj. Uthman bin Senik) yang merupakan mufti Pahang ketika itu.

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Atas dasar pungutan cukai yang menindas dan keangkuhan pihak penjajah, Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut bersekutu berganding bahu memulakan pemberontakkan ke atas pihak British.

Namun begitu, pihak pemberontak tidak mendapat sokongan Sultan terhadap pergerakkan penentangan British pada masa itu. Sultan yang pada masa itu hanya mementingkan darjat dan talian persahabatan dengan pihak British sanggup mengkhianati bangsa dan rakyatnya sendiri bagi mematahkan pemberontakkan di Semantan.

Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat.

Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Pawang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kila

Cabaran Hebat Shamsul Yusof Semasa Sesi Penggambaran

Dato' Jalaluddin Hasan bersama keris Warisan Nusantara

Dato’ Jalaluddin Hasan bersama keris Warisan Nusantara

Pada 14 Julai 2018, Berita Harian telah mengeluarkan suatu berita hasil penulisan Raja Nurfatimah Mawar yang agak mengejutkan iaitu penggambaran filem Mat Kilau yang terpaksa dihentikan!

Syamsul Yusof, 34, terpaksa menghentikan penggambaran filem epik, Mat Kilau, arahannya berikutan masalah dalaman tidak dapat dielakkan.

Penggambaran filem terbitan Studio Kembara dengan kerjasama Skop Productions yang menelan belanja RM5 juta itu sudah 70 peratus siap sebelum dihentikan, baru-baru ini.

Sebelum ini, Syamsul menyahut cabaran menggarap naskhah berkenaan selepas beberapa syarikat produksi dan pengarah dikatakan gagal menyiapkan penggambaran filem sejarah serta perjuangan pahlawan Melayu ulung berasal dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang itu.

Syamsul berkata, dia menghentikan penggambaran Mat Kilau bukan disebabkan terikat dengan promosi dan pembikinan trailer filem ke-10 arahannya, Munafik 2, yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Ogos depan.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Saya terpaksa membuat keputusan menghentikan penggambaran sehingga masalah dalaman selesai.

“Tekanannya membabitkan cuaca dan kerenah yang tidak dapat disebutkan. Saya berdepan dengan dugaan berat ketika menghasilkan filem ini,” katanya.

Syamsul berkata, dia tidak pernah terfikir cabaran bakal dihadapi bagi menghasilkan filem berkenaan adalah begitu hebat. Malah, katanya, ia mungkin boleh dianggap sebagai badi.

“Saya bekerja dengan pasukan yang profesional, tetapi perjalanannya tetap sukar. Mungkin sebelum ini kita boleh rumuskan pasukan yang menghasilkan filem Mat Kilau kurang berpengalaman, tetapi ‘team’ saya yang banyak pengalaman juga masih berdepan masalah.

“Saya hampir putus asa dengan masalah yang timbul. Tetapi apa juga yang berlaku, filem ini tetap akan diteruskan,” katanya.

Sutradara termuda yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 pada usia 26 tahun itu berkata, dia bersyukur penerbitnya, Rahman dan Shahruddin Dali, memahami situasi dihadapi.

“Mujurlah kami saling memahami dan tidak menyalahkan sesiapa. Selama bekerjasama, mereka memahami apa saja kehendak saya dalam menghasilkan filem ini.

“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, filem sejarah dan perjuangan pahlawan Melayu ulung itu akan disambung penggambaran pada Oktober, sejurus saya selesai mempromosikan Munafik 2,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu mengambil pendekatan mudah dalam menghasilkan filem epik terbabit.

“Saya tidak boleh bersikap ‘lebih kurang’ dalam pembikinan filem. Pakaian, lokasi dan pelakon tambahan, semuanya harus sempurna. Bagaimanapun, saya faham bukan semua pengarah mampu menghasilkan filem epik, terutama apabila membabitkan kos penggambaran besar.

“Saya mahu menggunakan khidmat penyedia kostum dan pengarah seni yang bagus, tetapi bayarannya sangat mahal. Saya terpaksa bekerja dengan harga standard, tetapi berkualiti. Faktor itu yang membuatkan saya terpaksa bekerja keras. Penonton tidak mahu tahu kos pembikinan, tetapi mereka inginkan hasil yang memuaskan hati. Ia antara cabaran saya perlu hadapi,” katanya.

Filem berkenaan hanya mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan diubah mengikut kesesuaian, bukan sepenuhnya kisah benar. Ia menampilkan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau, selain Beto Kusyairy, Johan As’ari, Fattah Amin, A Galak, Wan Hanafi Su, Farid Amirul, Nadiya Nisaa dan pelakon Indonesia, Yayan Ruhiyan.

Bersambung Semula

Sesi penggambaran telah diteruskan semula, malah mendapat pujian yang hebat dari netizen. Dalam berita Astro Awani 7 Februari 2019, aksi Syamsul Yusof mengarah Mat Kilau telah dipuji sehebat pengarah filem Transformers!

Ramai penonton yang teruja mahu menonton filem terbaru, Mat Kilau arahan Syamsul Yusof apatah lagi filem tersebut membawa kisah salah seorang pahlawan Melayu yang pernah terpahat dalam sejarah negara.

Merujuk satu video yang dikongsi menerusi media sosial, penonton berpeluang menyaksikan di sebalik pembikinan filem epik itu yang menjalani penggambaran di kawasan kampung di Lambor Kanan, Perak baru-baru ini.

Aksi Syamsul Yusof mengarah Mat Kilau sehebat pengarah filem Transformers

Salah seorang kru produksi filem Mat Kilau memuat naik video di Instagram menunjukkan Syamsul menggunakan kamera untuk merakam babak pertempuran sendiri. Instagram @thehitmannazri

Jika segelintir penonton beranggapan babak pertempuran adalah suatu yang mudah untuk dirakam, ia sebenarnya memberikan cabaran pada pengarah sendiri untuk mendapat syot terbaik.

Dalam video itu yang dimuat naik salah seorang kru produksi filem itu di Instagramnya, @thehitmannazri, Syamsul sendiri menggunakan kamera untuk merakam babak penting itu.

Netizen turut memberikan komen rasa teruja mereka untuk menonton filem yang dibintangi pelakon berpengalaman seperti Datuk Adi Putra, Fattah Amin bersama Johan As’ari.

“Steady bro. Makin excited juga ni nak tengok hasil kerja Mat Kilau @syamsulyusoffilm,” kata netizen dikenali sebagai @kelvinwest103.

Begitu juga, netizen @nabil_rahim_menyamakan cara kerja Syamsul seperti pengarah hebat Hollywood, Michael Bay yang pernah mengarahkan filem francais Transformers.

“Susahnya yer nak bikin satu2 scene sebuah filem….,” kata netizen @aronaventures.

Harapan Warisan Nusantara

Pihak Warisan Nusantara amat berbangga dapat menyumbang 10 buah keris dalam penghasilan filem bertemakan tradisional Melayu dan bersejarah ini. Semoga Shamsul Yusof dapat mengatasi masalah yang sedang dihadapinya.

Akhir kata, mudah-mudahan dengan adanya filem sebegini, kita akan lebih menghargai budaya bangsa Melayu yang dahulu kalanya sentiasa mengenakan keris ke mana jua mereka berada, kerana keris ini ibarat pakaian kepada orang Melayu.

 

Sumber

  1. Wikipedia
  2. Berita Harian
  3. Astro Awani