NOGO SOSRO

Pernahkah anda mendengar kisah lagenda Keris Nogo Sosro?

Mungkin dalam kalangan kita pernah dan ada juga tidak pernah langsung mendengar tentang keris Nogo Sosro yang sangat terkenal di Tanah Jawa.

Posting sebelum ini pernah menceritakan tentang kisah Taming Sari yang telah digunakan oleh Hang Tuah semasa riwayatnya.

Keris ini sangat popular kerana kebolehan dan kesaktian yang ada padanya.

Sama seperti keris Taming Sari ini, posting ini akan mendedahkan “quick facts” mengenai keris Nogo Sosro.

 

BERBEZA VERSI

Sama seperti sejarah keris yang lain, elemen yang lebih kurang sama terdapat pada Keris Nogo Sosro ini. Asal usul keris Nogo Sosro ini seperti yang diceritakan oleh penduduk di Tanah Jawa terdapat dua versi yang berbeza.

Menarik bunyinya.

Versi yang pertama, diriwayatkan keris Nogo Sosro ini telah dibuat dan direka cipta oleh pandai besi yang bernama Empu Supo Madrami.

Terdapat khilaf yang berbeza-beza mengenai nama si empu ini.

Manakala, versi yang kedua telah menceritakan bahawa keris Nogo Sosro ini telah mendapat nama sempena dengan bentuknya yang diperbuat daripada lidah seekor makhluk yang berbentuk seperti ular naga yang mempunyai kuasa sakti iaitu Nogo Sosro.

 

VERSI PERTAMA

Empu Supo Madrami ialah seorang pandai besi yang terkenal di Majapahit. Mendapat jolokan dengan kehebatan dalam arena menempa besi setelah berjaya mengembalikan keris Kyai Ageng Puworo.

Oleh disebabkan itu, beliau telah mendapat ganjaran yang mewah berupa sebidang tanah di kawasan persisiran utara. Kawasan ini telah diberi nama Sedayu.

Bukan itu sahaja, beliau juga telah mendapat darjat kebesaran yang diberi gelaran “Pangeran” serta dianugerahi seorang puteri keraton.

Telah dijadikan cerita, Sang Adipati Blambangan ingin mengadakan pemberontakan terhadap kerajaan Majapahit. Kerajaan Majapahit ketika itu telah dipimpin oleh Sang Prabu Brawijaya V.

Untuk mempersiapkan kerajaan menentang pemberontakan itu, Sang Prabu telah mengerah tenaga kerja Supo untuk mencipta pelbagai senjata peperangan yang hebat untuk menandingi kekuatan bala tentera Sang Adipati.

Sang Prabu juga telah meminta Supo untuk membuat sebilah keris yang memiliki kuasa sakti yang luar biasa yang dapat mengalahkan 1000 macam jenis bala dan bencana yang boleh dan biasa terjadi di kawasan pemerintahan Majapahit.

Supo bingung untuk membuat keris seperti yang diminta oleh Sang Prabu. Supo telah pergi bertapa dan berdoa kepada Tuhan yang Maha Berkuasa supaya diberikan petunjuk untuk membuat sebilah keris seperti yang dihajatkan oleh Sang Prabu.

Tuhan telah mengabulkan doa Supo. Supo telah mendapat petunjuk berupa gambaran sebilah keris dengan dapur Naga yang mempunyai 1000 sisik.

Maka, terbentuklah sebilah keris pusaka Nogo Sosro yang berluk 13 yang dihiasi oleh 1000 sisik serta bertakhtakan emas.

Sang Prabu sangat berpuas hati dengan hasil kerja Sang Supo yang telah menjadi salah satu pusaka dan kebanggaan kerajaan Majapahit.

 

VERSI KEDUA

Versi kedua ini lebih berunsurkan kepada lagenda. Kisah bermula apabila lahirnya seorang makhluk yang berbeza dari manusia dari hasil perkahwinan seorang ratu, Ratu Perangin dan seorang lelaki sakti bernama Manggir.

Manggir yang berasal dari kota Baqhdad telah berhajat untuk pergi ke pulau yang terbuat daripada runtuhan Gunung Himalaya serta berbentuk seperti naga. Pulau yang disebutkan itu sudah semestinya terletak Kepulauan Jawa.

Dipercayai bahawa kedatangan Manggir telah sama dengan turunnya patung Al-Atha dari India. Disebabkan peristiwa ini, telah terjadinya kejadian gerhana matahari penuh.

Panjang cerita dipendekkan, setelah lama tinggal di Pulau Jawa ini, Manggir telah mengetahui tentang satu kenyataan bahawa di Kepulauan Jawa ini telah dipenuhi dengan gunung berapi aktif.

Oleh disebabkan itu, Manggir ingin bertapa bagi “menyahaktifkan” gunung berapi ini.

Lalu dia menyatakan hasratnya kepada sang isteri dan berpesan kepadanya jika ada keturunannya ingin mencarinya lalu disuruh untuk carinya di salah satu gunung berapi itu.

Namun sehingga sekarang, tiada satu pun yang mengetahui digunung berapi mana yang dia bertapa disebabkan terlalu banyak gunung berapi di Pulau Jawa ini.

Sama seperti pasangan lain, pasangan ini telah dikurniakan zuriat namun tidak sama seperti manusia biasa. Ratu telah melahirkan seorang zuriat yang berbentuk fizikal seperti ular naga.

Perkembangan tubuh anak si Ratu ini sangat cepat dan telah menjelma menjadi seekor raksasa naga yang sangat ganas. Sesuai dengan bentuk fizikalnya, zuriat ini telah diberikan nama Nogososro.

Alkisahnya bermula apabila si Nogososro ini bertanya kepada ibunya dimana keberadaan ayahnya. Setelah berhasil menjumpai ayahnya, si Manggir sangat terkejut dengan kehadiran fizikal anaknya itu.

Disebabkan tidak percaya dengan hakikat itu, dia telah menyuruh anaknya untuk melilit gunung berapi dengan menggunakan badannya dengan syarat apabila ekornya boleh menyentuh kepalanya, barulah Manggir akan mengakui Nogososro sebagai anaknya.

Namun, ianya tidak berhasil walaupun Nogososro telah membelit gunung tersebut. Lalu dia mendapat akal fikiran untuk menggunakan lidahnya untuk mencapai lalu melengkapkan lilitan itu.

Tidak percaya dengan hakikat itu, Manggir yang berasa sangat malu telah bertindak memotong lidah Nogososro menggunakan keris dengan alasannya bahawa si Nogososro telah menipu.

Saat ketika lidah Nogososro telah terputus dikatakan ianya mengeluarkan api yang dahsyat seperti petir.

Disebabkan itu, Pulau Jawa telah bergoncang lalu terbelah menjadi pulau-pulau kecil yang menyerupai seperti harimau yang sebelumnya telah menyerupai seperti seekor ular naga.

Disebabkan terkejut dengan reaksi ayahnya dan berasa sakit, badannya yang tadi melilit gunung telah mencengkan gunung tersebut dan menyebabkan terletusnya gunung berapi tersebut.

Kesan tersebut telah dinamakan sebagai Teluk Pelabuhan Ratu.

Manggir dan Nogososro telah terpelanting ke angkasa namun tidak mengalami sebarang kecederaan disebabkan kesaktian yang dimiliki masing-masing.

Meskipun demikian, tubuh Manggir telah menjadi patung batu yang kadang-kadang berpindah randah dari satu gunung ke gunung yang lain. Manakala, Nogososro telah menjadi naga batu sehingga waktu ini.

Dikatakan bahawa lidah Nogososro telah berubah menjadi sebilah keris.

Disebabkan kuasa yang luar biasa dimiliki oleh lidah ini, Manggir sentiasa memanjatkan doa untuk keamanan dan dijauhkan daripada peristiwa-peristiwa buruk dari berlaku.

Peristiwa yang ini boleh dilihat secara jelas di Gua Gedong Manik Taman Srimegan di Pulau Jawa.

Kedua-dua versi membawa cerita yang berbeza-beza. Jadi manakah satu yang hendak dipercayai?

 

FIZIKAL NOGO SOSRO

Seperti yang telah diperkatakan sebelum ini, fizikal Nogo Sosro seperti bentuk seekor ular naga.

Keris Nogo Sosro adalah keris yang mempunyai 13 luk serta bermotifkan naga. Ia juga telah diselaputi emas dari bahagian gundik sehingga kehujung ekornya.

Dibahagian dapur Nogo Sosro in telah menggambarkan bahagian kepala naga yang memakai mahkota dan memiliki 1000 sisik. Manakala, dibahagian mulutnya pula seperti mengigit intan.

Dalam satu riwayat, keris pusaka Nogo Sosro ini selalu digandingkan dengan dua jenis keris lagi, iaitu Sabuk Inten dan Sengkelat.

Gabungan Nogo Sosro dan Sabuk Inten adalah untuk aura kewibawaan, manakala gabungan dengan Sengkelat adalah untuk kamukten.

 

BENARKAH NOGO SOSRO MEMPUNYAI KESAKTIAN?

Keris Nogo Sosro ini telah dipercayai mempunyai kuasa sakti Kayai Nogo Sosro yang boleh membantu si pemiliknya. Jadi tidak hairanlah ramai yang ingin memiliki keris ini.

Antara kelebihan keris Nogo Sosro seperti yang diperkatakan oleh masyarakat Jawa ialah pembawa rezeki, kewibawaan, dan keselamatan.

  1. Sebagai pembawa rezeki
  2. Memberikan rezeki halal serta berkat
  3. Melancarkan urusan yang dimiliki oleh si pemilik
  4. Menghindarkan diri daripada kerugian dan kecelakaan
  5. Sebagai perlindungan diri
  6. Menghalang diri daripada gangguan makhluk halus
  7. Melindungi diri daripada aura dan energi negatif
  8. Sebagai pelaris
  9. Meningkatkan keuntungan
  10. Melancarkan urusan jual beli

Sebagai orang yang beragama Islam, perlulah diingati bahawa tiada kuasa selain Allah yang Esa. Kepercayaan kepada makhluk lain di atas bumi ini seperti menduakan serta mensyirikkan Allah.

Kebergantungan selain kepada Allah, pemilik kuasa yang mutlak, telah menyebabkan seseorang itu dianggap syirik serta boleh mempesongkan akidah seseorang.

Dalam situasi seperti ini, mempercayai dan menyakini keris mempunyai kuasa mistik adalah menyamai dengan menyekutukan Allah. Syaitan serta iblis amat menyukai kepada manusia yang tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Tidak disangkal bahawa Allah telah menciptakan besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Dalam Surah Al-Hadid ayat 25, Allah berfirman,

“Dan Kami ciptakan besi yang ada padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia.”

Namun ini tidak bermakna kita memegang teguh bahawa besi ini mempunyai kesaktian dan keajaiban yang akan mengabulkan segala permintaan manusia.

Inilah matlamat syaitan dan iblis yang akan terus menyesatkan anak-anak Adam lebih-lebih lagi tanpa asas akidah yang kukuh.

 

PUSAKA MAJAPAHIT

Keris pusaka Nogo Sosro ini telah mendapat perhatian banyak pihak terutamanya dalam kalangan masyarakat Indonesia terutamanya golongan kolar putih.

Namun tetapi, tidak sembarangan orang boleh memilikinya. Mengikut desas-desus khabar angin, keris pusaka ini hanya boleh dimiliki oleh orang yang benar-benar berjodoh dengannya.

Bung Karno adalah seorang tokoh yang telah diperkatakan pernah memiliki keris Nogo Sosro ini. Sebegitu juga dengan Soeharto yang juga pernah memiliki keris pusaka ini.

Kononnya, untuk memiliki keris ini, satu upacara ritual berat telah dilakukan. Tetapi sejauh mana kebenaran kisah ini, wallahualam.