WUJUDKAH KERIS TAMING SARI?

Secara umumnya, keris sebagai alat persenjataan yang digunakan oleh pelbagai status sosial. Kebiasaannya, hiasan pada keris akan dikenalpasti untuk melambangkan status sosialnya.

Salah seorang pemiliknya adalah para pahlawan dan pejuang bangsa tanah Melayu malahan rakyat biasa juga memiliknya kerana melambangkan identiti pemiliknya.

Setiap pembuatan keris mengandungi makna tersirat yang mana ianya berbeza mengikut geografi serta personaliti pemilik dan sebagainya.

 

HIKAYAT TAMING SARI

Pada pemerintahan Kesultanan Melaka, Hang Tuah dikenali sebagai seorang pahlawan dan tokoh lagendaris Melayu. Beliau merupakan seorang pelaut yang berpangkatkan laksamana dan mempunyai ilmu seni bela diri yang sangat mantap di laut mahupun di daratan.

Mengikut sejarah Melayu lama, Hang Tuah pada masa mudanya, bertemankan empat teman seperjuangannya; Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu telah membunuh sekelompok penyamun serta dua orang yang telah menghancurkan desa dengan perasaan yang terlalu marah.

Kebetulan pula, bendahara Melaka telah mengetahui akan kehebatan Hang Lima Bersaudara tersebut dan membuat keputusan untuk mengambil mereka bekerja di istana.

Semasa bekerja dengan istana, Hang Tuah telah membunuh seorang petarung dari Jawa yang sangat terkenal dengan panggilan Taming Sari ketika dibawah pemerintahan Majapahit.

Terdapat banyak versi cerita tentang perkara ini. Ada yang mengatakan bahawa Taming Sari disuruh oleh Patih Gadja Mada, Bentara Majapahit untuk membunuh Hang Tuah kerana telah memalukannya.

Ada pula versi yang mengatakan bahawa Taming Sari telah mengamuk dan bertindak membunuh ramai orang dalam Istana Betara Majapahit lalu meminta pertolongan Hang Tuah untuk membunuh Taming Sari. Wallahualam.

Kononnya, Taming Sari dikenali sebagai ahli yang pandai bertarung, kebal senjata malah dapat menghilangkan diri. Kesaktian Taming Sari terletak pada kerisnya.

Disebabkan keris Hang Tuah tidak lut untuk membunuh Taming Sari, Hang Tuah yang menyedari perihal ini bertindak merampas keris Taming Sari tersebut kemudian membunuh Taming Sari tersebut menggunakan keris tersebut.

Keris itu kemudiannya telah berpindah milik kepada Hang Tuah dan menggunakan nama Taming Sari sebagai gelaran kepada keris tersebut.

“… paseban. Maka, bangkai pun terlalu banyak dibawa oleh orang pulang ke rumahnya. Maka bangkai Taming Sari pun ditarik oranglah lalu digantungkannya di tengah pesara itu. Maka keris Taming Sari itu dipersembahkannya oleh Tun Tuah pada Seri Betara. Maka dilihat oleh Seri Betara keris itu; maka titah Seri Betara. “Adapun keris ini anugerah kitalah pada …”
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 147)

 

MALANG TIDAK BERBAU

Malang tidak berbau, kendatipun Hang Tuah terkenal dengan kesetiaannya kepada raja, dia telah difitnah berzina dengan pelayan istana. Raja yang maklum akan perihal itu, terus bertindak membuta tuli untuk memberi hukuman mati kepada Hang Tuah tanpa membuat siasatan terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, hukuman mati tersebut tidak dikeluarkan oleh Bendahara, sebaliknya beliau telah dihantar ke sebuah tempat yang sunyi dan jauh dari istana.

Apabila sahabat-sahabat perjuangan Hang Tuah mengetahui akan perihal tersebut, terutamanya Hang Jebat berasa amat berang dan mahu menuntut bela terhadap kematian Hang Tuah. Akibatnya, rakyat di situ jadi kacau-bilau.

Raja pada ketika itu, berasa bimbang dan sesal atas tindakannya yang terburu-buru dalam menghukum Hang Tuah kerana baginda berpendapat hanya Hang Tuah lah satu-satunya pahlawan yang boleh mengalahkan Hang Jebat.

Disebabkan keadaan yang sangat genting pada ketika itu, Bendahara telah menceritakan hal yang sebenar kepada raja bahawa Hang Tuah masih hidup dan telah disembunyikan jauh dari istana.

Kemudiannya, Hang Tuah telah dipanggil kembali ke istana oleh Bendahara dan hukuman beliau telah diangkat sepenuhnya oleh raja.

Maka, bermulalah episod pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat yang memakan masa berhari-hari. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah berjaya merebut kembali keris Taming Sari beliau yang pada waktu itu berada di tangan Hang Jebat lalu membunuhnya.

Setelah kejadian itu, Hang Tuah telah menghilangkan diri dan tidak lagi kembali ke istana.

 

KERIS TAMING SARI

Keris Taming Sari terkenal dengan kesaktian yang ada pada keris dan dimiliki oleh Pendekar Lagendaris Melayu bernama Hang Tuah.

Pada asalnya keris ini merupakan milik seorang pendekar yang hebat dengan seni tempur yang tidak terkalahkan bernama Taming Sari.

Tambahan lagi, keris Taming Sari tersebut memiliki kesaktian yang laur biasa malahan mampu membunuh korbannya sendiri jika pemilik keris tersebut berada dalam bahaya.

Sudah pastinya, “Pandai Besi” yang mereka cipta keris ini telah “mengisi” ketuahan yang hebat sehingga memiliki kuasa yang luar biasa!

 

UNIKNYA TAMING SARI!

Taming Sari dikatakan mempunyai ciri-ciri diselaputi daun emas. Manakala, bahagian sarung keris tersebut dipercayai diperbuat daripada campuran emas dan 20 jenis besi termasuk serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Menarik bukan!

Jadi, tidak hairanlah jikalau keris ini mempunyai kuasa luar biasa seperti yang dimomokkan dalam kalangan masyarakat Melayu.

 

SEJAUH MANA KEWUJUDAN TAMING SARI?

Namun begitu, kewujudan keris Taming Sari ini selalu menjadi tanda soal. Adanya yang mengatakan bahawa kisah ini hanyalah mitos semata- mata.

Ada yang berpendapat pula yang keris Taming Sari ini memang wujud seperti yang pernah dipaparkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sebagai alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak.

Menurut Haji Alwi, pengerusi Persatuan Seni Negeri Kelantan, keris Taming Sari ini sememangnya wujud namun keadaan fizikal yang cantik dan molek seperti yang digambarkan adalah diragui.

Mana mungkin keris yang telah “hidup” beratus tahun berada dalam keadaan yang molek dan cantik. Sejauh mana kesahihan cerita tentang ini tidaklah diketahui.

Seperti yang dipetik dalam Mimbar Kata Blogspot, Pensyarah Universiti Malaya, Mohd Ramli Raman menegaskan bahawa keris Taming Sari wujud dan diangkat menjadi alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak.

Menurutnya lagi, rupa dan ciri yang ada pada keris itu merupakan karya asli dan telah berasal daripada kerajaan Majapahit pada kurun ke 14.

 

POPULARITI “HANG TUAH DAN TAMING SARI” 

Disebabkan namanya sebati dengan sejarah dan lambang kekuatan serta kesetiaan, nama Hang Tuah dan Taming Sari ini telah diangkat untuk menjadi tumpuan dan daya tarikan utama pelbagai tempat pelancongan di dalam mahupun luar negara.

Antara tempat yang dinamakan selepas nama Hang Tuah dan Taming Sari ialah:

  1. Taming Sari Tower di Melaka
  2. Empat buat jalan di Malaysia dinamakan sebagai Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur, Muar, Ipoh dan Melaka
  3. 10 buah jalan di Indonesia dinamakan sebagai Jalan Hang Tuah di Pekanbaru, Palu, Palembang, Surabaya, Padang, Jakarta, Batam, Tanjung Pinang, Medan dan Bandung.
  4. LRT dan MRT Stesen Hang Tuah
  5. Telaga Hang Tuah, Melaka
  6. KD Hang Tuah, Tentera Laut diRaja Malaysia
  7. Hang Tuah Mall, Melaka
  8. Stadium Hang Tuah di Melaka dan Pekanbaru
  9. Hang Tuah Jaya, Melaka
  10. Jambatan Hang Tuah, Melaka
  11. Kampung Hang Tuah, Melaka
  12. Dewan Hang Tuah, Melaka
  13. Masjid Hang Tuah, Melaka
  14. Taman Hang Tuah, Pekanbaru
  15. Universiti Hang Tuah, Surabaya
  16. Kapal KRI Hang Toeah, Tentera Laut Indonesia

Sejarah Hang Tuah dan Taming Sari tidak dapat dipisahkan!