Takkan Melayu Hilang Di Dunia”, Masih Relevankah?

 

“Takkan Melayu hilang di Dunia” merupakan sumpah yang telah dipetik oleh Hang Tuah untuk mencerminkan ketuanan Melayu yang tidak hilang dan lenyap dari muka bumi ini. Hang Tuah merupakan figura pahlawan lagenda berbangsa Melayu yang telah hidup di zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad kurun ke 15. Hang Tuah telah berperanan sebagai laksamana kepada Sultan Mansur Shah. Beliau juga merupakan seorang petarung silat yang tiada tolok bandingnya. 

 

Namun begitu, kata sumpah ini seolah-olah tidak lagi relevan lagi pada masa kini. Budaya kebaratan dan arus globalisasi yang tiada sempadan bagai menguburkan jati diri masyarakat Melayu itu sendiri. Anasir-anasir luar yang berleluasa telah mempengaruhi budaya dan identiti masyarakat Melayu, sehingga mereka alpa dan lupa asal usul budaya sendiri. 

 

Sikap Budaya Kini

 

Generasi pewaris sudah mula kabur dan tidak mengetahui salasilah lambang kemasyhuran hasil seni bangsa sendiri yang beridentitikan warisan seni Melayu. Tidak kurang pula yang beranggapan bahawa kesenian Melayu sudah lama ketinggalan zaman dan tidak perlu menoleh kebelakang. Sebahagiannya pula mengagung-agungkan kesenian persenjataan penjajah dari negara matahari terbit untuk dipamer tanpa mengetahui bahawa ianya adalah imbasan kolonial.

 

Bagi generasi yang menghayati Islam pula memilih pendekatan yang dingin terhadap khazanah bangsa atau assabiyah ini dengan alasan ianya mengundang terlalu banyak unsur-unsur mistik dan syirik. Penyelidikan dan pendedahan harus dibuat untuk memperbetulkan tanggapan yang salah dan karut ini yang membawa kepada kesesatan terhadap warisan bangsa ini sekiranya masih ada.

 

Pupus Budaya, Hilanglah Bangsa

 

Dr Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata, “ Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa- bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.” Kata-kata ini dipetik sempena ucapannya yang disampaikan dalam Kongres Parti Islam Se-Malaya (PAS) pada tahun 1964. Beliau berpendapat bahawa perbuatan menghina dan menjatuhkan Melayu merupakan pengkhianatan paling besar kepada orang Melayu khususnya kerana ia berupaya untuk membunuh keupayaan bangsa tersebut. Akhirnya, ia membawa kepada kepupusan bangsa Melayu seperti bangsa-bangsa agung yang lain yang telah dicatatkan dalam sejarah dunia. 

 

Langkah- Langkah Dan Usaha Memartabatkan Warisan Melayu Nusantara

 

Antara langkah-langkah dan usaha yang boleh dilakukan oleh generasi pewaris terbahagi kepada lima iaitu:

#1 Pamerkan dan dedahkan

Membuat pameran untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat umum tentang budaya bangsa berbanding dengan barangan hasil penjajah. Pameran seperti ini boleh dilakukan dengan menggunakan platform muzium, galeri-galeri seni serta pameran berperingkat antarabangsa dalam memperkenalkan dan mempromosikan seni warisan Melayu secara global demi menarik minat pelancong asing untuk mengenali budaya masyarakat Melayu seperti “Tahun Melawat Malaysia” dan sebagainya.

 

#2 Budayakan dan dipelbagaikan

Pepatah pernah berkata, “Biar mati anak, jangan mati adat.” Ini bermaksud adat resam warisan bangsa hendaklah dipelihara dan dibudayakan supaya tidak dilupakan oleh generasi akan datang. Selain itu, adat warisan bangsa ini hendaklah dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Melayu secara umumnya yang menjadi lambang identiti bangsa pada suatu ketika dahulu. Kerajaan Malaysia juga boleh mengambil inisiatif untuk melancarkan bulan kebudayaan dalam mempromosikan budaya bangsa ini.

 

#3 Usahakan dan ukirkan

Usaha dalam mengekalkan tradisi warisan Melayu bukanlah mudah, tetapi ia memerlukan usaha yang berterusan dan kerjasama dari pelbagai pihak supaya warisan Nusantara terukir di mata dunia. Walaupun ada sesetengah budaya hampir lesap dan susah untuk dijejaki, akan tetapi, usaha yang berterusan dapat mengembalikan sejarah Melayu yang kian pudar di mata dunia. Contohnya seperti, menjejaki tinggalan pengukir atau pandai besi yang masih tinggal dimana-mana. 

 

#4 Bincangkan dan buat kajian

Tidak dinafikan lagi dalam memelihara dan memulihara warisan bangsa, terdapat banyak percanggahan pendapat dalam kalangan penyimpan sejarah. Namun begitu, perselisihan faham haruslah tidak dijadikan sebagai isu, sebaliknya, ia perlu dijadikan suatu perbincangan yang sihat dalam kalangan penyimpan sejarah.Contohnya, menggabungkan idea-idea berbeza daripada penyimpan sejarah dalam mencapai kata sepakat. Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Selain itu, percanggahan seperti ini boleh dijernihkan dengan membuat kajian berkenaan isu budaya tersebut. Melalui hasil kajian tersebut, segala perselisihan dapat dileraikan disamping dapat menambahkan ilmu yang tulen dan mendalam tentang isu tersebut.

#5 Bukukan dan abadikan

Salah satu cara untuk memartabatkan peninggalan sejarah bangsa yang sangat berharga ini adalah melalui pendokumentasian dengan cara membukukan warisan tersebut. Data-data berkenaan yang diperoleh daripada hasil kajian tentang warisan bangsa ini dikumpulkan lalu didokumenkan dan diabadikan untuk rujukan generasi masa akan datang. Dengan ini, sejarah yang masih tersisa akan dipelihara dengan rapi untuk tatapan masa akan datang sebelum bangsa kehilangan identiti, sebagaimana bersesuaian dengan maksud peribahasa yang berbunyi “tak lapuk dek hujan, tak lekang panas”.  

 

Nasib sebuah warisan satu-satu bangsa akan ditentukan oleh bangsa itu sendiri dengan kemahuan dan kesedaran sendiri dan mencuba sedaya upaya mungkin untuk memelihara tanpa bantuan bangsa lain. Sebahagian masih utuh, sebahagian sudah kabur menunggu ajal dan sebahagian sudah lama pupus.  Justeru itu, ayuhlah generasi pewaris seni warisan Melayu dalam sama-sama memartabatkan serta mengabadikan seni warisan budaya sebelum lenyap dari muka bumi ini.     

Video Ringkasan Usaha Memartabatkan Warisan Nusantara

WARISAN YANG DITINGGALKAN…

Menjejak warisan lama turun temurun dengan penuh falsafah dan panduan agama tidaklah semudah yang disangka. Ia seperti mengutip mutiara-mutiara di dalam lumpur. Tidak kelihatan kecuali kotorannya. Begitulah apabila senjata warisan ini disalaherti dengan ajaran sesat sedangkan ia adalah lambang jati diri bangsa.

Posted by Warisan Nusantara on Tuesday, 22 October 2019

Rujukan

  1. Hang Tuah ,Wikipedia.
  2. Raggie Jessy – The Third Force