Keris: Identiti Bangsa Melayu

 

Keris bukanlah semata-mata alat persenjataan tradisional yang dibangga-banggakan oleh rumpun Melayu khususnya di Tanah Melayu. Keris juga telah menjadi simbol kepada kelengkapan rasmi serta menjadi identiti kepada si pemakai. Munsyi Abdullah pernah menceritakan tentang titah Sultan Hussin kepada Stamford Raffles mengenai keris sebagai lambang jati diri masyarakat Melayu. Peristiwa seperti ini juga pernah berlaku diantara John Crawfurd dan Sultan Johor.

 

Siapakah Munsyi Abdullah?

 

Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abdul Kadir merupakan seorang tokoh kesusasteraan Melayu Moden di tanah air kita. Tokoh yang berdarah kacukan Arab dan India ini telah diberi gelaran “Munsyi” yang membawa maksud ‘guru’ kerana mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang ilmu agama, bahasa dan penulisan. Kebanyakan hasil penulisan beliau berkisahkan tahap pembinaan sebuah tamadun dalam membina moral dan membentuk sahsiah. Selain itu, beliau telah menonjolkan sosiobudaya yang merangkumi ekonomi, politik dan sosial masyarakat Melayu pada zaman penjajahan. Antara karya penulisan beliau ialah Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Mekah.

 

Munsyi Abdullah Dan Stamford Raffles

 

Oleh kerana mempunyai kepakaran dalam menulis surat-surat penting seperti penterjemahan dan sewa beli, beliau telah menjadi tumpuan orang ramai terutamanya golongan-golongan pedagang di Melaka pada waktu usia yang masih muda. Disebabkan oleh kepakaran tersebut, beliau telah ditawarkan bekerja dengan pegawai Britain, Stamford Raffles. Semasa di Singapura, Munsyi Abdullah telah menjadi jurubahasa dan jurutulis kepada Raffles. Di samping itu, beliau telah menjadi guru Bahasa Melayu kepada saudagar-saudagar British di Singapura. Munsyi Abdullah telah memberikan gambaran yang baik tentang perilaku Stamford Raffles. Raffles yang menyukai sejarah perlembagaan dan budaya memerlukan pertolongan Munsyi Abdullah untuk mentafsirkannya. Stamford Raffles telah menggunakan dan memanfaatkan Munsyi Abdullah untuk mendapatkan maklumat tentang kelemahan dan kekuatan orang Melayu dari sudut ilmu, budaya tradisi serta kesenian, bahasa dan lain-lain. Ini kerana ia dapat memudahkan beliau untuk menguruskan dan mentadbir orang melayu yang pada ketika itu mundur dan tidak maju pada pandangan mereka. 

 

Titah Sultan Hussin Kepada Raffles

 

Munsyi Abdullah berkata, “Apabila Sir Stamford Rafles mencadangkan kepada Sultan Hussain dan Temenggong supaya melarang orang-orang Melayu di Singapura memakai keris, maka Sultan telah bertitah, adapun jika orang Melayu tidak bersenjata itu seperti orang yang tidak berpakaian namanya.” 

 

Ini dapat ditafsirkan bahawa masyarakat melayu pada zaman tersebut khususnya, telah menganggap keris seperti kelangsungan dalam pakaian harian. Tanpa kehadiran keris di pinggang seseorang sebagai pelengkap busana, ia juga sama seperti orang yang tidak mengenakan pakaian atau bahasa kasarnya, bertelanjang. Keris yang dihiasi dengan aksesori tertentu menandakan kedudukan status sosial dalam kalangan masyarakat Melayu.

 

Keris yang mempunyai nilai estetika yang tinggi telah dianggap sebagai pengenalan diri seseorang. Tanpa keris, seseorang boleh dianggap seperti tidak mempunyai identiti diri. Seharusnya generasi pewaris perlu mengambil serius perihal warisan budaya yang satu ini. 

 

Keris Sebagai Artifak Budaya

 

Keris merupakan artifak peninggalan budaya yang istimewa serta memainkan peranan yang tertentu. Ia memainkan peranan yang begitu banyak dalam lipatan sejarah di Nusantara sehingga menyebabkan peranan yang disandang menjadi lebih kompleks. 

 

Jika di Nusantara kita mempunyai keris sebagai budaya tinggalan nenek moyang, di dunia peradaban yang lain, ianya juga mempunyai lambang kemegahan budaya untuk ditunjukkan kepada generasi pewaris. Contohnya, seperti pembinaan piramid di Mesir purba, kolosium di Greek purba dan pembangunan terancang di tamadun Indus. Peninggalan warisan budaya ini juga telah membuktikan kehebatan teknologi pada zaman tersebut dan menjadikan pewaris pada masa akan datang untuk menjadi lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan yang telah menyebabkan kejatuhan tamadun tersebut. 

 

Dengan memelihara warisan bangsa ini juga, secara tidak langsung dapat menjana pendapatan sampingan kepada negara terbabit kerana boleh dijadikan sebagai pusat pelancongan. Seperti keris juga, para pembuat keris boleh menjana pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara melangsungkan kelestarian warisan keris tersebut. Di samping tersebut, kerajaan Malaysia juga boleh memelihara warisan bangsa ini melalui permuziuman, penggalerian dan pendokumentasian.

 

Jika diperhatikan apa yang telah berlaku di persekitaran dunia pada hari ini, tidak disangkal lagi, penghapusan bahan bukti sejarah semakin berleluasa. Ianya bukan hanya terjadi semasa zaman penjajahan, tetapi ia berlaku juga pada zaman neokolonisasi. Seperti yang berlaku di Syria, ia mungkin boleh ditafsirkan sebagai perang saudara disebabkan oleh hal-hal politik. Secara tidak langsung, akibat dari peperangan ini juga telah memusnahkan peninggalan para anbiya dan ulama yang telah tercatat di dalam sejarah dunia. Bukan itu sahaja, pergolakan yang tiada kesudahan di tanah Palestin juga dapat dilihat bertujuan untuk menghapuskan jejak para anbiya di tanah suci itu. 

 

Keris Dan Falsafah Melayu  

 

Keris dianggap sebagai lambang kebesaran bangsa Melayu yang mempunyai tatasusila penggunaan, pembuatan dan pemakaian serta memberi maksud yang lebih jauh daripada itu walaupun bangsa Melayu telah melalui pelbagai penjajahan, agama anutan, percampuran budaya dan perubahan adaptasi budaya hingga ke hari ini.

 

Keris yang menyimpan pelbagai sejarah kedaulatan, keunggulan dan kekuasaan bangsa merupakan warisan atau pusaka bangsa Melayu yang seharusnya dipelihara untuk ditinggalkan kepada generasi pewaris bukan untuk disalah guna dengan matanya yang lebih tajam dan lebih-lebih lagi untuk dipuja bagi merosakkan akidah yang membawa kepada kesesatan. 

 

Memadailah dengan identiti penciptaaannya yang asal agar ianya dapat menjadi warisan bangsa yang bermanfaat yang menyimpan lipatan sejarah kegemilangan, kecemerlangan, keterbilangan bangsa Melayu supaya ia terus unggul dan tidak pupus lebih awal dari yang kita jangka semakin ditelan oleh arus pemodenan yang tidak mengenal sempadan.

 

Rujukan

  1. Siska Rahmawati, Firman Susilo & Agus Syahrani, Peristilahan Persenjataan Tradisional Masyarakat Melayu di Kabupaten Sambas. Link
  2. Ramli Ismail, Peranan Keris Dalam Masyarakat Melayu Perlis. Link 
  3. Prof. Dr. M. Rajantheran, The Life and Works of Munsyi Abdullah. Link