Asal Usul Samurai

Negara Jepun tidak asing lagi dengan negara yang kaya dengan budaya dan sejarah yang tersendiri. Seperti yang tercatat dalam sejarah Jepun, golongan samurai merupakan golongan atasan yang berpangkat tentera kasta tinggi semasa pemerintahan feudal terutamanya Zaman Edo.

Samurai juga dikenali sebagai bushi atau buke. Istilah samurai juga digunakan untuk merujuk kepada golongan bangsawan bukannya tentera biasa. Terdapat kira-kira 10 peratus daripada total populasi Jepun merupakan golongan samurai.

Jika bercerita tentang samurai, ramai akan membayangkan seorang tentera berpakaian perisai besi, bertopeng unik bersama dengan sebuah pedang. Fakta menarik tentang samurai, pahlawan ini bukanlah hanya terdiri dalam kalangan jantina lelaki, tetapi terdapat juga golongan wanita yang menjadi samurai yang dikenali sebagai “Onna-Bugeisha”.

Untuk menjadi seorang samurai yang handal, samurai telah dilatih untuk sentiasa peka dengan perubahan persekitaran yang berlaku setiap hari. Selain itu, samurai hendaklah bersedia setiap masa untuk mempertahankan diri dari serangan musuh dalam keadaan terkawal atau mengejut.

 

Pedang Sebagai Imej Seorang Samurai

Samurai sememangnya terkenal dengan imej pedang samurai. Jolokan nama pedang samurai sudah sinonim dengan masyarakat samurai di negara matahari terbit ini. Malah, pedang tersebut dianggap sebagai jiwa atau roh samurai itu sendiri.

Pedang ini telah digunakan sebagai senjata utama oleh pahlawan Jepun ini. Selain pedang, samurai juga mendapat jolokan masyarakat umum disebabkan oleh perisai Darth Vadernya namun tetapi direka khas bagi memudahkan pergerakan seseorang samurai.

Kebanyakannya, golongan samurai ini hanyalah bertubuh kecil sahaja. Purata ketinggian seorang samurai hanyalah 160-165 cm!

 

Jenis Pedang Samurai Di Jepun

Terdapat pelbagai jenis pedang telah digunakan oleh golongan samurai ini. Contohnya seperti Katana, Wakizashi, Kodachi, Chokuto, Tsurugi, Yari, Shinai, Bokken, Naginata, Tanto, Ninjato, Odachi, Nagamaki dan Tachi. Setiap satunya mempunyai ciri unik dan keistimewaannya tersendiri. Tambahan pula, setiap satunya digunakan dalam medan pertempuran yang berbeza-beza.  

 

Image result for samurai jepun

Namun ada kala ketikanya, pedang bukanlah senjata yang ideal untuk seseorang samurai mempertahankan diri pada masa mengejut. Mereka telah mencipta alat alternatif lain untuk menghalang diri dari serangan musuh. Kebanyakan barang-barang ini terdiri daripada peralatan yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Alat-alat ini dipanggil sebagai mijikimono

 

Alat tersebut ialah:

  • Kabutowari
  • Kanabo
  • Kanzashi
  • Kiseru
  • Kogai
  • Kogatana dan Kozuka
  • Kusari-fundo
  • Jitte
  • Shakuhachi
  • Tobiguchi
  • Yatate

 

Pedang Katana: Jati Diri Samurai

Image result for samurai

Walaubagaimanapun, pedang Katana merupakan simbolik utama bagi seseorang samurai. Mengikut Boshido, iaitu kod etika samurai, walaupun mempunyai sejarah yang kompleks, ia berpendapat bahawa pedang Katana ialah maruah bagi seseorang samurai.

Jikalau bangsa Melayu mempunyai keris sebagai maruah diri, pahlawan Jepun ini mempunyai pedang Katana sebagai lambang jati diri yang sering dikaitkan dengan mitos berkait rapat dengan roh si pemiliknya. Pedang Katana ialah sejenis pedang yang melengkung dan dapat memotong pihak lawan dengan cepat.

Pedang katana juga telah dianggap paling popular di dunia. Malah ia juga dilabel sebagai pedang terkuat dunia dan mempunyai proses yang kompleks. 

Ciri-ciri yang menyebabkan pedang katana menjadi pedang terkuat di dunia ialah komposisi besi yang betul. Besi yang terdapat di Jepun telah dianggap bahan yang terbaik untuk menghasilkan sesebuah pedang yang berkualiti.

Antara salah satu formula yang digunakan untuk membuat pedang terdiri daripada 0.04% molybdenum, 0.05% tungsten, 0.02% titanium, 1.54% tembaga, 0.01% manganese, 0.1% hingga 0.3% karbon dan sedikit bahan lain. Fungsi karbon adalah untuk memberikan kekuatan pada bilah. 

 

Proses Pembuatan Katana Yang Kompleks

Cara pembuatan pedang katana telah melalui proses yang rumit menjadikan hasil terakhir yang mantap. Keistimewaan pedang Katana telah terletak pada perincian pembuatannya.

Setiap pembuatan pedang ini, ia memerlukan usaha yang gigih dan tahap kesabaran yang tinggi. Besi yang berkualiti tinggi telah digunakan. Besi yang telah dipanaskan akan diketuk dan dilipat secara berulang-ulang kali.  

Image result for katana in the making

Seperti yang dicatatkan oleh Rai dalam penulisannya, proses berulang-ulang ini mempunyai beberapa kelebihan.

1. Menyingkirkan gelembungan udara yang terbit dalam besi semasa pemanasan. Kewujudan gelembung udara ini boleh melemahkan pedang.

2. Proses berulang-ulang akan menambah lapisan baru ke permukaan pedang yang baik untuk kekuatannya.

3. Memastikan sifat karbon yang wujud secara semulajadi untuk menguatkan pedang diagihkan secara sama rata ke seluruh permukaan besi.

Namun proses pembuatannya tidak berhenti setakat itu. Pedang yang telah menjalani proses seperti berikut hendaklah disejukkan.

Proses penyejukan tidak dilakukan mengikut kebiasaan proses pembuatan pedang yang lain seperti direndam di dalam air ataupun dibiarkan sejuk secara perlahan-lahan. Ini kerana ia boleh menumpulkan mata pedang serta menjadikan permukaan pedang senang rapuh.

Proses penyejukan yang ideal telah digunakan untuk menghasilkan pedang Katana dengan menggunakan campuran tanah liat, abu dan air.

Campuran ini disapukan pada bucu mata pedang supaya kekal tajam dan keras. Bucu sebelah juga diletakkan campuran yang lebih tebal supaya pedang tidak mudah berkecai.

Oleh disebabkan proses ini, pedang Katana mempunyai bentuk melengkung kerana kedua-dua sisi menjalani proses kadar penyejukan yang berbeza.

 

Hilang Telan Dek Zaman

Image result for distinction katana

Senasib seperti keris, pedang Katana ini seolah-olah tidak mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat sendiri. Tidak dinafikan lagi bahawa pedang Katana ini penuh dengan sejarah warisan bangsa Jepun, namun ianya semakin pupus dek karena masyarakat Jepun sendiri tidak memelihara warisan ini.

Mungkin disebabkan oleh peranan pedang itu sendiri dan status sosial pemakainya menyebabkan ianya tidak popular dalam kalangan masyarakat umum. Lebih menyedihkan lagi, nasib para pembuat pedang ini seolah-olah tiada sinar lagi. Banyak pengusaha pembuat pedang sudah berputus asa untuk memelihara warisan ini. 

 

Pemeliharaan Dan Pemuliharaan

Image result for seminar japan

Antara usaha-usaha yang dianjurkan untuk memelihara dan memulihara serta memartabatkan warisan budaya ini dari lenyap dari muka bumi ini ialah:

  1. Usahakan, majukan dan krafkan dengan menjejaki tinggalan pengukir dan pandai besi yang masih tinggal dimana-mana.

  2. Gunakan, budayakan kembali dan pelbagaikan warisan bangsa terutamanya dalam kalangan masyarakat dan kerajaan khasnya.

  3. Pamerkan, dedahkan dan promosikan berbanding dengan barangan penjajah.

  4. Bincangkan, gabungkan idea serta bicarakan agar ianya boleh dimartabatkan kembali.

  5. Bukukan, abadikan dan kekalkan sebagai warisan bangsa sebelum bangsa kehilangan identiti. 

Kesimpulannya, setiap warisan budaya telah membawa nilai-nilai sesebuah masyarakat terdahulu. Sebagai pewaris negara, seharusnya kita menanamkan sikap peduli dan ambil tahu untuk mengenali identiti bangsa kita. Jikalau bukan kita yang melakukannya, siapa yang akan ambil peduli?

 

Rujukan

  1. Rai Illani, 11 Senjata Samurai yang Tidak Diketahui Umum. Dikeluarkan oleh https://iluminasi.com/bm/11-senjata-samurai-yang-tidak-diketahui-umum.html
  2. Osman Affandi, 5 Fakta Menarik Mengenai Samurai. Dikeluarkan dari https://iluminasi.com/bm/5-fakta-menarik-mengenai-samurai.html 
  3. Wowasiknya, Mengenal 14 Jenis Pedang Samurai Jepang yang Indah tapi Mematikan. Dikeluarkan dari http://wowasiknya.com/jenis-pedang-samurai/ 
  4. Samurai, Wikipedia. Dikeluarkan dari https://en.wikipedia.org/wiki/Samurai