Mungkin ada dalam kalangan kita akan akan terkejut apabila membaca tajuk artikel kali ini. Apa kaitan keris dengan politik Malaysia pada tahun 1969 atau secara khususnya Pilihanraya Umum (PRU) 1969?

Terkejut atau tidak, itulah hakikat dan fakta yang telah dicipta pada tahun tersebut. Lebih malang lagi, peristiwa ini telah dilabel sebagai isu sensitif yang jarang dibahaskan sehingga sekarang.

Namun, keadaan keterbukaan arena politik pada hari ini, kebanyakannya isu ini telah lantang disuarakan oleh wakil-wakil rakyat bagi memelihara keharmonian semua kaum yang ada di Malaysia.

 

POLITIK 1969

Dalam sejarah politik Malaysia, Pilihanraya Umum (PRU) 1969 amat penting kerana keputusan PRU pada tahun tersebut telah memberi impak yang cukup mendalam terhadap kedudukan kuasa politik UMNO dan Parti Perikatan (MCA dan MIC).

Gerakan parti-parti pembangkang yang hebat melontarkan manifesto-manifesto yang hebat pada ketika itu yang telah hampir menggugat kuasa Perikatan.

PRU 1969 telah menjadi pentas politik untuk parti-parti politik melihatkan kekuatan masing-masing dalam menerajui kerajaan pada ketika itu.

Parti Perikatan dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC, gabungan Melayu, Cina dan India telah menjadi gagasan terbesar menyertai pilihanraya.

Manakala Parti Islam Se-Malaya (PAS),Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan Parti Progresif Rakyat serta Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) telah menjadi saingan terkuat Parti Perikatan di Semenanjung.

Parti politik seperti SUPP, SNAP dan PESAKA, USNO dan Sabah Chinese Association (SCA) menjadi lawan parti Perikatan di Sarawak dan Sabah.

Keputusan PRU 1969 diklasifikan sebagai “Tsunami Politik Pertama Negara” oleh Cetusan Mukara (2012). Walaupun Parti Perikatan berjaya menjadi mengambil alih kerajaan pada ketika itu, namun ianya bukanlah kemenangan yang besar.

Pihak pembangkang berjaya mengalahkan Parti Perikatan di kawasan-kawasan seperti Kedah, Terengganu, Perak, Selangor dan Sarawak.

Secara rawaknya, Parti Perikatan tidak menang majoriti walaupun berjaya membentuk kerajaan disebabkan jentera-jentera pihak pembangkang pada ketika itu!

 

13 MEI 1969: PERISTIWA HITAM MELAYU-CINA

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan kemuncak kepada masalah perpaduan di Malaysia dimana telah berlakunya rusuhan kaum melibatkan kaum Cina dan Melayu khususnya.

Tragedi yang telah meragut banyak nyawa ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan “Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969.”

Sejarah hitam Melayu dan Cina ini telah dipercayai berpunca dari banyak peristiwa yang berlaku semasa PRU 1969 yang mana pada akhirnya menimbulkan huru-hara pada 13 Mei, 1969.

Menurut penelitian Tunku Abdul Rahman sendiri, kesemua pilihanraya-pilihanraya yang telah dijalankan sebelumnya selepas kemerdekaan Tanah Melayu telah dapat dilaksanakan dengan baik, hatta PRU 1969.

Pada ketika itu, PRU 1969 telah dilangsungkan pada hari Sabtu, 10 Mei, 1969 di Malaysia Barat berjalan dengan lancar sebagaimana PRU-PRU sebelumnya.

Namun begitu, keadaan semasa PRU 1969, kempen pilihanraya telah dijalankan dengan begitu buruk oleh kerana perbuatan-perbuatan liar yang dilakukan dan ucapan-ucapan yang tidak bertanggung jawab daripada pihak pembangkang.

 

UNSUR KARUT-MARUT 13 MEI 1969

Terdapat unsur karut marut dalam mengklasifikasi peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut Dr Kua Kia Soong, ahli sosiologi telah menjalankan kajian terhadap peristiwa hitam tersebut. Beliau berpendapat bahawa rusuhan 13 Mei bukanlah berpunca daripada keganasan kaum Melayu dan Cina yang berpunca daripada keputusan rasmi pilihanraya pada 1969.

Beliau menegaskan bahawa peristiwa berdarah ini merupakan satu “coup d’etat” atau rampasan kuasa terhadap Tuanku Abdul Rahman oleh golongan kapitalis Melayu yang telah disokong oleh polis dan tentera demi melaksanakan agenda politik baru Melayu.

Secara tepatnya, menolak pemerintahan aristokrasi Raja Melayu.

Hal ini juga telah disahkan oleh mantan Perdana Menteri Pertama Tanah Melayu dan Malaysia, Tunku Abdul Rahman dalam catatannya yang berjudul “Sebelum dan Selepas 13 Mei” diterbitkan oleh Utusan Melayu Berhad.

Beliau telah menambah beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peristiwa hitam 13 Mei 1969 iaitu:

1) Kempen pilihanraya yang amat buruk dalam PRU 1969.
2) Anasir-anasir Komunis yang memainkan peranan dalam mencetuskan huru-hara. Hal ini telah dikenalpasti sejak awal lagi sekitar tahun 1967.

Masih menjadi teka teki mengenai angka rasmi korban rusuhan 13 Mei ini.

Namun, Dr Kua telah mendedahkan angka rasmi korban.

196 orang, 180 cedera akibat senjata api dan 259 lagi cedera kerana senjata lain, 9,143 orang ditangkap dan 5,561 daripadanya didakwa di mahkamah, 6,000 kehilangan tempat tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah atau mengalami kerosakan.

 

KERIS TERBANG?
Dari mana datangnya kisah Keris Terbang ini? Terdapat banyak versi dalam penceritaan semula kisah hitam 13 Mei 1969.

Versi yang berbeza-beza mungkin telah dipengaruhi oleh sifat perkauman itu sendiri secara amnya. Tidak disangkal lagi sikap perkauman itu juga telah memecah belahkan keharmonian di Tanah Melayu ketika itu.

Teori mengatakan bahawa sikap begini telah dibentuk oleh pihak kolonial British yang memisahkan geografi sosial dan pekerjaan demi mengutip keuntungan sendiri.

Oleh sebab itu, kaum masing-masing sudah terbiasa dengan kehidupan homogenisasi tanpa campur tangan budaya lain.

Menurut sumber penceritaan daripada orang yang mengalami peristiwa ini, kisah Keris Terbang ini merupakan sebagai dendam orang Melayu yang berang akan tindakan orang Cina pada ketika itu yang membunuh tanpa mengira umur.

Digelarkan keris terbang disebabkan oleh saksi tidak melihat tubuh fizikal yang memegang keris tersebut. Sudah pastinya, ada ilmu yang diamalkan sehingga boleh memiliki sifat luar biasa tersebut!

Bersifat objektif, tidak kisahlah kaum mana yang mencetuskan perbalahan terlebih dahulu, kejadian tumpah darah seperti ini sehingga kerajaan mengishtiharkan darurat sepatutnya tidak terjadi. Sesuatu perbalahan atau ketidakpuasan hati boleh diselesaikan dengan “peaceful ways”.

 

KUMPULAN SELENDANG MERAH

Kumpulan Selendang Merah ini bukanlah seperti yang anda sangkakan. Mungkin sesetengah akan menganggap bahawa Kumpulan Selendang Merah ini seperti kumpulan mengaji dan qasidah yang disertai oleh “golongan mak cik-mak cik”.

Kumpulan Selendang Merah ini dipercayai telah dianggotai oleh sekumpulan lelaki yang mengamalkan amalan Tuan Sheikh Usman. Hatta sehingga kini, kumpulan ini masih aktif lagi.

Sejauh kebenaran ajaran tersebut tidak diketahui. Menurut blog Mistik Alam Bunian, beliau telah menulis bahawa ijazah ilmu parang terbang ini memerlukan seperti berikut:

“sebilah parang lama , jika tiada yang lama, baru pun boleh tapi pastikan ianya buatan orang MELAYU SAHAJA… kemudian anda perlu sediakan kemenyan , kain kuning 1 meter dan kain merah 1 meter”

Mereka yang ingin mengikut kursus ini hendaklah membayar sebanyak RM 433.33!

Penulis blog ini juga telah memberitahu sebanyak 145 orang telah berjaya mengambil kursus ini.

 

NILAI PENGAJARAN

Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kita seharusnya bersatu-padu dalam menjaga keharmonian tanah air yang tercinta ini.

Kepelbagaian dan perbezaan bukanlah dijadikan sebagai alasan untuk ketidak harmonian dan pecah belah.

Malah disebabkan faktor ini, ia mengajar rakyat Malaysia akan keunikan antara satu sama lain supaya lebih menghargai budaya yang wujud dalam masyarakat sejagat.

Mana-mana agama tidak mengajar untuk tidak berlaku adil dan berlaku jahat terhadap sesama manusia. Sebaliknya, setiap agama menganjurkan amalan melakukan kebaikan antara satu sama lain supaya dunia sentiasa dalam keadaan aman.

 

RUJUKAN

  1. How and Why Race Matters :Malaysian-Chinese Transnational Migrants Interpreting and Practising Bumiputera Differentiated Citizenship
  2. Communicating Amok in Malaysia
  3. Catatan Tunku Abdul Rahman
  4. Mendedahkan Punca Sebenar Rusuhan 13 Mei
  5. 13 Mei, Moga Tidak Berulang
  6. Ijazah Ilmu Parang Terbang
  7. Sejarah PRU 1969: Tsunami Politik
  8. Gambar Cover- Leon Comber