Asal Usul Keris

Keris merupakan salah satu alat persenjataan bangsa Melayu selain tombak, pedang, badik dan sebagainya. Masyarakat Melayu telah mencipta persenjataan tradisional yang merupakan satu teknologi untuk memudahkan urusan dan kegiatan seharian mereka. Populasi keris kebanyakannya berasal daripada rumpun Melayu yang terdiri oleh Pulau Bali, Lombok, Kalimantan, Jawa, Brunei Darussalam, Malaysia dan Pulau Mindanao di Filipina. Namun begitu, penemuan keris tidak diketahui secara pasti tentang asal-usul sumber pertama penemu keris.

Faktor Evolusi Populasi Keris

Umumnya, keris diklasifikasi mengikut lokasi geografi pembuatannya, rupa bentuk hulu, sarung (sampir), bilah mata, corak pamor dan etnik bangsa pemilik. Jadi tidak hairanlah keris mempunyai pelbagai nama dan jenis. Contohnya, Keris Pattani, Keris Jawa, Keris Bali, Keris Bangkinang, Keris Bugis, Keris Madura, Keris Palembang, Keris Pekaka, Keris Semenanjung, Keris Sulu dan Keris Minang. Bentuk keris yang berbeza-beza adalah disebabkan oleh unsur penyesuaian dengan perkembangan zaman. 

Keris yang mempunyai susila penggunaan, pembuatan dan pemakaian telah memberikan maksud tersendiri walaupun telah melalui pelbagai penjajahan, agama anutan, percampuran budaya, perubahan adaptasi budaya sehinggalah kepada suasana dunia tanpa sempadan. 

Antara faktor-faktor yang telah menyebabkan evolusi sebuah keris seperti berikut:

Image result for perkahwinan melayu zaman sebelum british dahulu

1. Perkahwinan

Evolusi sesebuah keris telah berlaku menerusi perkahwinan yang telah menyebabkan pertembungan dan interaksi dua budaya lalu memberi kesan kepada percampuran budaya. Terdapat pelbagai jenis perkahwinan, antaranya, perkahwinan siasah yang berlaku dalam kalangan kerabat raja dan perkahwinan biasa yang melibatkan penduduk tempatan sesama sendiri.

Image result for melayu zaman dahulu

2. Penghijrahan

Seni ukir sesebuah keris telah dipengaruhi oleh faktor penghijrahan dari sebuah tempat ke sebuah tempat yang lain. Etnik dan bangsa asal yang telah berhijrah ke suatu tempat yang jauh kebiasannya akan mengubah rekabentuk keris mereka yang unik.

3. Peperangan

Sesebuah peperangan juga telah menjadi asbab untuk seni kraftangan keris ini mempunyai reka bentuk yang tersendiri dan menjadi medan pertembungan budaya.

4. Pembukaan kawasan

Keris juga menjadi sebuah lambang kawasan dan memiliki seni ukir yang bersesuaian dengan pembukaan kawasan yang baharu. Kebiasannya para Sultan setelah membuka satu kawasan akan membina sebuah istana dan mengupah seorang tukang kayu dan pandai besi untuk mereka satu senjata bercorakkan identiti kerajaan negeri yang baru dibukanya itu.

Seni Ukiran Keris Sebagai Simbol Identiti  

Sebuah keris haruslah dinilai sebagai karya imaginatif oleh “pandai besi”. Setiap seni rekaan keris mempunyai nilai yang tinggi dan sengaja dibuat berbeza setiap satunya. Karya yang berbeza bertujuan untuk menterjemahkan pemiliknya dari aspek individu, suku kaum, persatuan, kesultanan, kenegerian serta juga negara.

Setiap seni ukiran dan pembuatan mestilah menampakkan jalinan yang harmoni dari hulu, pendongkok, bilah dan sampir. Melalui seni ukiran ini, ia mampu memberikan gambaran, identiti atau perihal seperti berikut:

  • Perbezaan agama anutan dahulu dan sekarang
  • Suku, rumpun asal atau cantuman dari pelbagai suku
  • Jajahan atau tempoh kesultanan yang memerintah
  • Kedudukan atau status dalam masyarakat

Keris Sebagai Status Sosial

Image result for keris status sosial

Keris telah dianggap peninggalan artifak budaya yang sangat istimewa yang sering dimartabatkan dalam dimensi kehidupan masyarakat Melayu. Bangsa Melayu telah mereka-cipta keris berdasarkan falsafah tersendiri. Selain berfungsi sebagai alat senjata, ia merupakan simbol status sosial dalam sesebuah masyarakat Melayu dan simbol kejantanan bagi pemiliknya. 

Pada zaman kerajaan Islam, keris-keris mempunyai kedudukan yang khusus terutamanya dalam kalangan masyarakat Jawa. Keris dijadikan sebagai tanda kebesaran, tanda jabatan, tanda pangkat serta kelengkapan upacara. Jika pada zaman sekarang, pakaian rasmi perlu mengenakan tali leher, masyarakat Melayu dahulunya mengenakan keris dalam kelengkapan pakaian rasmi. Tidak kurang pula, keris juga dijadikan barang pusaka yang dipuja. 

Hal ini pernah diceritakan oleh Munsyi Abdullah bahawa Sultan Hussin bertitah kepada Stamford Raffles,

“…. Adapun jika orang Melayu tidak bersenjata itu seperti orang yang tidak berpakaian namanya.”

Image result for munsyi abdullah

Oleh itu, keris mempunyai nilai estetika yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional. Seiring dengan pengedaran zaman, keris mengalami pengembangan fungsi yang lebih dominan dalam konteks sosial berbanding sebagai senjata tikam. 

Bersesuaian dengan status sosial pemiliknya, keris mempunyai kelas-kelas tersendiri iaitu:

1. Keris Diraja

Keris Diraja mempunyai tiga jenis penggunaan, keris yang menjadi pegangan seorang raja sehari-hari, keris yang digunakan dalam upacara-upacara kerajaan serta keris yang digunakan untuk diberikan dan dipersembahkan oleh rakyat biasa kepada seorang raja. Selain keris yang digunakan untuk sehari-hari, keris-keris yang lain telah disimpan di dalam ruangan pusaka kerajaan.

Image result for keris diraja

2. Keris kerajaan

Keris kerajaan ini menjadi simbol sebuah kerajaan. Selain itu, keris ini juga dipercayai  digunakan untuk mengamankan sesebuah kerajaan dari gangguan seperti rusuhan, pemberontakan, atau memulihkan serangan secara ghaib. Jenis keris ini hanya akan dikeluarkan apabila kerajaan mempunyai upacara-upacara rasmi kerajaan dan situasi yang mendesak dan berbahaya. Contohnya, sepasang keris Nagasasra dan Sabuk Inten yang dimiliki oleh kerajaan Majapahit telah digunakan untuk memulihkan serangan wabak penyakit yang melanda rakyat jelata. 

3. Keris keluarga kerajaan atau bangsawan

Jenis keris ini adalah dimiliki oleh pemilik yang bersesuaian dengan status sosialnya. Keris ini mempunyai tanda dan bentuk yang tersendiri. Contohnya, keris yang berluk lima atau keris pandawa atau keris Singo Barong yang dimiliki oleh golongan raja, kerajaan atau bangsawan. Selain golongan yang telah disebutkan ini, golongan lain seperti menteri kerajaan, panglima, askar, penghulu dan ketua kampung tidak boleh memilikinya, apatah lagi rakyat biasa.

4. Keris orang-orang kaya

Jenis keris ini telah dibezakan melalui hiasan-hiasan yang sesuai untuk melambangkan status darjat mereka. 

5. Keris rakyat biasa

Jenis keris ini tidak memiliki hiasan-hiasan mewah bersesuaian dengan budaya dan status sosial mereka dengan tujuan untuk merendahkan diri. Si pemakai boleh meminta si tukang besi menempa dan membuat keris yang bersesuaian dengan si pemakai mengikut salasilah atau asal keturunan mereka. 

6. Keris kepahlawanan 

Jenis keris ini lebih kurang sama dengan keris rakyat biasa. Namun keris-keris pahlawan biasanya ada yang telah ditempa dengan racun dan sangat tajam. Hiasan keris ini haruslah tampak ringkas dan tidak bertitipkan batu permata, mudah untuk dipegang dan digunakan untuk pertarungan.

Selain itu, tukang empu atau pandai besi juga mempunyai kelas-kelas tersendiri yang bersesuaian dengan kelas masing-masing seperti yang dipersetujui dan diperakukan oleh masyarakat umum. Tukang empu terbahagi kepada tiga kelas iaitu empu kerajaan, empu kelas tengah dan empu desa. 

Kesimpulannya, kelas-kelas keris ini boleh dirumuskan semakin tinggi status personal pemilik keris, semakin lengkap dan mewah hiasan dan aksesori keris tersebut.

Keris: Kad Pengenalan Bangsa Melayu

Seperti yang diperkatakan sebelum ini, keris menjadi lambang identiti si pemakai. Keris akan dibawa kemana-mana sebagai pelengkap wajib busana harian. Tanpa keris, si pemakai seperti pendatang asing yang tidak mempunyai maruah dan jati diri atau dianggap bertelanjang kerana tidak sempurna dalam berpakaian mengikut warisan tradisi. 

Hal ini pernah diceritakan oleh Munsyi Abdullah,

“Apabila Sir Stamford Rafles mencadangkan kepada Sultan Hussain dan Temenggong supaya melarang orang-orang Melayu di Singapura memakai keris, maka Sultan telah bertitah, adapun jika orang Melayu tidak bersenjata itu seperti orang yang tidak berpakaian namanya.” 

Dengan semangat memelihara keris ini, Visi Mantap Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sketsa pendek berjudul “Identiti” yang telah mengisahkan seorang pelawat yang terlupa membawa kad pengenalannya untuk ditunjukkan kepada pengawal pondok jaga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.  

Dalam kekalutan mencari beg dompetnya, pelawat tersebut telah menghulurkan sebilah keris jawa sebagai alternatif lambang pengenalan dirinya. Sketsa berdurasi satu minit  empat puluh saat tersebut telah diarahkan oleh Nurazah Fathirah dengan mengenengahkan isu keris sebagai warisan bangsa yang dahulunya menjadi identiti seseorang, namun kian dilupakan akan kewujudan warisan bangsa tersebut.

 

Rujukan

  1. Facebook Warisan Nusantara.
  2. Deskripsi Keris.
  3. Falsafah Keris. 
  4. Khamis Mohamad & Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. Keris: Falsafah dan Isu Masa Kini.
  5. Senjata-Senjata di Zaman Kesultanan Melayu Johor: Definisi dan Tipologi Senjata, p. 21.