Para Pengunjung MAHA 2018

Pada tanggal 1 hingga 2 Disember 2018, Warisan Nusantara telah turun padang bersama-sama memeriahkan MAHA 2018 yang diadakan di MAEPS, Serdang. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 telah pun berlangsung selama 11 hari bermula pada 22 November di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Kali ini, pameran mensasarkan lebih 3.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Justeru, Warisan Nusantara telah mengambil inisiatif melaksanakan Talk Show Keris Warisan Nusantara sebagai langkah memupuk kesedaran menjaga warisan yang semakin pupus ini.

Rata-rata, para pengunjung MAHA 2018 yang sedang menjamu selera terhibur mendengar Talk Show Keris Warisan Nusantara ini. Gelagat dua beradik yang lincah menjadi MC program telah memeriahkan suasana penonton. Ramai, bukan sikit-sikit.

Para Pengunjung MAHA 2018

Program dimulakan dengan menjemput tiga orang ahli panel muda iaitu Encik Muhammad Amin Haniff, 26 tahun selaku salah seorang penceramah Warisan Nusantara, Encik Firdaus bin Rusnan, 32 tahun selaku pemilik Galeri Warisan Nusantara Sungai Pusu Gombak dan Puan Nurazah Fathirah, 26 tahun sebagai moderator.

Antara soalan yang dibangkitkan di dalam Talk Show ini adalah “Bahaya ke keris ni? Berhantu tak?”

Mitos ini telah disangkal oleh Encik Amin Haniff dengan menjawab,

“Kita takut siapa? Allah atau syaitan? Jika kita menggunakan alat ini iaitu makhluk Allah yang biasa ini, untuk tujuan menunduk kepada syaitan, maka syaitanlah yang akan datang. Tapi jika kita bergantung segalanya kepada Allah swt semata, maka keris ini hanyalah makhluk yang taat kepada perintah Allah swt. Ia adalah makhluk, bukan siapa-siapa untuk kita geruni”.

Antara soalan lain yang diutarakan kepada Encik Firdaus ialah “ Mengapa keris mempunyai banyak jenis hulu dan sampir?”

Encik Firdaus menerangkan bahawa keagungan setiap etnik dan bangsa di dalam alam Melayu dahulu kala semestinya meninggalkan keunikan tersendiri melalui satu tanda atau corak ukiran. Kebanyakannya diabadikan di dalam bentuk budaya dan seni membina senjata. Contohnya keris.

Ada sesetengah keris yang berasal dari Jawa misalnya, menggunakan sampir jenis “Branggah Solo” atau “Branggah Surakarta” dan. Jika keris Patani pula jenis hulunya terkenal dengan corak “Pekaka”. Di Filipina pula, kerisnya berhulukan “Sundang Sulu”. Itulah uniknya keris, coraknya melambangkan identiti suatu kaum, etnik atau bangsa.

Related image

Talk Show ini dirancakkan lagi dengan berbagai soalan mudah yang mungkin seringkali tercetus dalam pemikiran anak muda. Apakah masih kita patut memelihara warisan ini?

Puan Nurazah kemudian mengakhiri Talk Show dengan sebuah soalan yang sangat penting iaitu, “Di zaman moden ini, bagaimanakah caranya kita patut lakukan untuk memelihara warisan Nusantara ini?”

Encik Amin Haniff berkata,

“Ada lima cara untuk kita memelihara keris ini iaitu dengan berdiskusi mengenainya, mengkaji sejarahnya, menulis tentangnya, membuat pameran dan jualan alat-alat ini sebagai replika di rumah-rumah dan pejabat, serta membuat revolusi terhadap senireka keris agar tampak lebih kontemporari dan melambangkan identiti sesuatu agensi/korporat itu”.

Begitulah intipati Talk Show percuma ini.