TAK SEPOPULAR KERIS

Alam Melayu sangat sinonim dengan alat senjata tradisional terutamanya keris.

Senjata keris adalah senjata utama yang sering meniti di bibir masyarakat Melayu Nusantara sehingga menyebabkan kita terlupa akan kewujudan alat senjata yang lain.

Pernahkan anda mendengar tentang senjata tekpi? Apakah itu tekpi? Pelik sungguh namanya.

 

ASAL TEKPI

Tekpi merupakan salah satu jenis senjata yang digunakan pertama kalinya di dalam sejarah Melayu apabila diajarkan kepada Kesultanan Melayu Kedah pada tahun 1556.

Lama, bukan? Namun tekpi tidaklah sepopular senjata lain seperti keris.

Tekpi dipercayai dikatakan berasal dari Cina melalui perdagangan oleh India dan China sebelum sampai ke Kedah yang bersempadan dengan Thailand.

Namun, ada juga desas desus yang mempercayai tekpi ini berasal dari Indonesia sebelum tersebarnya ke Malaysia, India, China, Indochina serta Okinawa di selatan Jepun.

Terdapat satu lagi pendapat yang tekpi ini adalah senjata yang diadaptasi daripada trisula iaitu tombok bermata tiga yang berasal dari India sebelum tersebar ke Indonesia dan Malaysia.

Kesimpulannya, terdapat tiga pendapat berbeza tentang asalnya tekpi ini. Pendapat pertama mempercayai tekpi berasal dari China, manakala pendapat kedua membahaskan tekpi berasal dari Indonesia sebelum ke Malaysia dan pendapat ketiga pula berpendapat bahawa tekpi berasal dari India sebelum tersebar ke benua lain.

Namun, perselisihan pendapat ini tidak seharusnya menjadi perbalahan malahan sepatutnya ia menambahkan ilmu pengetahuan dan perlu adanya kajian yang lagi mendalam tentang tekpi ini.

Uniknya, tekpi juga digunakan dalam seni mempertahankan diri bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa juga. Tekpi dipanggil cabang di Indonesia manakala di Okinawa di panggil sai dalam bahasa Ryukyu.

Di Malaysia, tekpi yang terkenal dengan jolokan nama Raja Segala Senjata kerana fungsinya yang memerangkap dan menangkis segala ancaman daripada senjata lain.

Selain berfungsi sebagai senjata, ia juga penting sebagai simbol keagamaan bagi pengikut Hindu Buddha.

 

FIZIKAL TEKPI

Bentuk fizikal tekpi ini adalah bercabang tiga yang cabang utamanya lebih panjang daripada cabang yang terletak di kiri dan di kanan.

Cabang utama berbentuk lurus manakala cabang di kanan dan di kiri telah membentuk seperti huruf U atau seperti tanduk lembu. Selalunya tekpi ini diperbuat daripada besi.

Masyarakat Melayu telah menamakan cabang utama sebagai batang tekpi. Cabang di kiri dan di kanan tekpi itu dinamakan sebagai sampir. Hujung hulu tekpi yang berbentuk buntil pula dipanggil mata lalat atau bunga lawang.

Tekpi ini juga direka khas mengikut kesesuaian si pemakai senjata ini namun biasanya cabang utama tekpi ini adalah berukuran 15 inci sehingga 20 inci.

Tekpi digunakan sebagai senjata dalam seni mempertahankan diri. Cara penggunaan tekpi ini juga berbeza mengikut corak permainan seni bela diri masing-masing.

Jadi, teknik penggunaan tekpi dalam silat dan karate adalah berbeza.

Namun begitu, fungsi yang hampir sama telah digunakan oleh tekpi sebagai senjata dalam pergerakan seperti memukul, menusuk, menghentak dan mengunci senjata pihak lawan.

 

ENAM JAHANAM GUNA TEKPI

Penggunaan tekpi dalam budaya warisan seni bela di Tanah Melayu pernah diketengahkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filemnya Enam Jahanam.

Allahyarham P Ramlee sendiri telah melakonkan watak hero yang dikenali sebagai Tantari, telah menggunakan senjata tekpi ketika berlawan dengan enam orang ‘gangster’ bagi membela atas kematian isterinya.

Cerita ini telah dibintangi oleh seniman agung negara, Allahyarham P. Ramlee (Tantari), Nor Azizah (Masmira/ Mastika) dan Yusof Latiff (Laksamana Damburi). Manakala watak kumpulan Enam Jahanam ini telah dibintangi oleh Shariff Baboo (Mumbala), Ibrahim Sabtu (Jagindas), J B Yusof (Sujamang), Osman Botak (Katipang), Kamal Idris (Paragas) dan Ahmad Dadida (Karambit) sebagai ketua kumpulan.

Tantari telah mempelajari seni pertahankan diri dengan menggunakan tekpi seperti yang diajar oleh Laksamana Damburi.

Video ini boleh ditonton di Laman Youtube.

Dengan berpandukan gambar yang dicetak itu dan seni mepertahankan diri menggunakan tekpi itu, Tantari telah berjaya membunuh kesemua kumpulan Enam Jahanam itu.