INISIATIF USIM ANJURKAN PROGRAM MENEROKA SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM ALAM MELAYU DALAM I-FEST 2019

 

Sekretariat Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Islam USIM, Sekretariat Pusat Islam, Ratib Alami dan beberapa rakan NGO yang lain telah menganjurkan sebuah program “Islamic Festival Science and Technology” (I-FeST) 2019 untuk memartabatkan Islam dalam Sains dan Teknologi.


Program pada tahun ini telah membawakan tema yang berunsurkan warisan melayu nusantara.

Program ini telah berlangsung dari 12 Oktober sebagai acara larian sebagai pre-event yang disertai seramai 300 orang pelajar dan diikuti dua hari pada bulan November iaitu bermula 8 November 2019 dan berakhir pada malam hari 9 November 2019.

Menurut Faris Ammar bin Ahmad Faidz, pengarah program I-FeST USIM 2019, dan juga merupakan pelajar sarjana muda Sains Komputer, program ini bertujuan untuk meneroka sains dan teknologi dalam alam Melayu serta memberi pendedahan dan merungkaikan sejarah, ilmu-ilmu dan kelebihan orang Melayu dalam bidang sains dan teknologi kepada masyarakat umum tentang sumbangan masyarakat Melayu dalam pembentukan peradaban dunia.

Secara tidak langsung, program seperti ini juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar fakulti itu sendiri dengan masyarakat luar.

Acara ini mendapat jolokan nama singkatan I-FeST USIM 2019 merupakan acara wajib tahunan sekretariat ini. Acara tahunan seperti ini telah diadakan bermula sejak tahun 2015 dengan tema yang berbeza- beza pada setiap tahun.

Pelbagai acara telah dianjurkan pada tahun ini, antaranya Forum Sains dan Teknologi Alam Melayu, Simposium Muzakarah Warisan Bangsa, Arena Warisan Melayu serta sekali gus menyambut kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam Perarakan Perdana Maulidur Rasul yang kebetulannya jatuh pada hari Sabtu tersebut.

Terdapat pelbagai acara-acara sampingan yang telah berlangsung serentak dengan program tersebut seperti acara T-Sport, pertandingan memanah dan permainan sukan tradisional yang dikenakan bayaran RM 5 untuk setiap penyertaan dan gerai jualan (foodtruck).

Yang menariknya tentang program ini adalah jemputan dif-dif kehormat yang luar biasa hebat ilmunya tentang Warisan Melayu Nusantara. Ar. Dr Mastor Surat, Prof. Dr. Che Husna, Muhammad Haziq, PU Rahmat, Pendekar Mat Ali dan Sheikh Sidi Rohimuddin Nawawi al Bantani adalah antara orang-orang yang berkaliber dalam bidang ini telah dijemput untuk memberi penerangan tentang warisan nusantara melayu ini.

Masih terngiang-ngiang lagi ucapan Ar. Dr Mastor Surat yang berseloroh mengatakan senang untuk menjadi seorang Melayu dengan syarat seperti dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 60,

“Beragama Islam, bertutur bahasa Melayu,mengamalkan adat budaya Melayu, dan berketurunan Melayu serta lahir sebelum hari Merdeka atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Persekutuan atau Singapura, maka melayulah dia”.

Jadi, tidak hairanlah rata-rata pengunjung yang hadir telah mengenakan pakaian lengkap busana Melayu serta berkeris dalam melambangkan jati diri Melayu yang kian pupus ini.

Acara kemuncak program ini adalah Maulid Agung Alam Melayu 2019 dalam menzahirkan rasa cinta dan kasih terhadap Rasullulah yang telah mendapat sokongan badan-badan berkanun dan bukan berkanun dan masyarakat umum yang bukan sahaja datang dari dalam negeri ini sendiri malah dihadiri oleh masyarakat luar negeri seperti Johor dan Melaka serta para pelajar USIM itu sendiri.

Kehadiran yang dianggarkan oleh pihak penganjur pada malam itu hampir mencecah seramai 5000 ribu pengunjung. Program tersebut telah diisi dengan bacaan tahlil serta selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad.

Walaupun mengalami kekangan ketiadaan elektrik pada hari kejadian, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kelangsungan program ini demi mencapai objektif yang disasarkan.

Sumber gambar: Facebook I-FeST 2019