SIAPAKAH WALINONG SARI?

Mungkin masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu sering mendengar lagenda Puteri Gunung Ledang, puteri yang cantik sering dikaitkan dengan jelmaan nenek kebayan lebih dikenali dalam cerita dongeng rakyat.

Kemungkinan besar tidak ramai yang tahu akan kisah rakyat si Puteri Walinong Sari. Kisah rakyat ini sangat popular dalam kalangan rakyat Pahang yang dahulu yang dikenali sebagai Negeri Inderapura.

 

HANDAL BERSILAT

Diceritakan bahawa Puteri Walinong Sari ini sangat terkenal dengan bakatnya dalam seni bela diri silat dan ketangkasannya dalam mengendalikan alat senjata terutamanya keris dan lembing selain daripada memiliki paras rupa yang sangat cantik.

 

Puteri Walinong Sari merupakan salah satu puteri yang pandai bersilat yang tergolong dalam srikandi pahlawan Melayu.

Oleh disebabkan itu, ramai lelaki yang ingin memperisterikan si Puteri Walinong Sari ini. Namun tiada satu pun yang berkenan di mata si tuan empunya badan. Bapanya sangat risau dengan kenyataan ini.

Dalam masa yang sama, berita ini sampai ditelinga Putera Raja Mambang Segara. Tertarik mendengar khabar dan demi untuk menyaksikan kecantikan wajah sang puteri Walinong Sari ini, Raja Mambang Segara yang berasal dari Gunung Tahan ini telah menyamar menjadi seorang yang buruk rupa untuk mencari sang puteri ini.

Raja Mambang Segara mendapati bahawa puteri ini sering menutup wajahnya menggunakan penutup muka. Maka, sang Raja ini mengambil keputusan untuk beradu tenaga dengan sang puteri untuk menguji kehandalan puteri dalam kemahiran seni persilatannya.

Puteri telah menyatakan bahawa dia tidak pernah kalah dalam pertarungan. Setelah menetapkan tarikh dan waktu yang sesuai untuk bertarung, maka bermula pertarungan antara Raja Mambang Segara dan Puteri Walinong Sari.

Oleh disebabkan kedua-duanya sama hebat sama handal, pertarungan telah berlangsung selama tiga hari tiga malam. Pada hari ketiga, penutup muka sang puteri tertanggal lalu telah mempamerkan keindahan pesona wajahnya.

Raja Mambang Segara yang terpegun akan kecantikan wajahnya itu telah jatuh pengsan. Ketika sedang membersihkan sang putera itu, putera telah bertukar menjadi dirinya yang asal kepada seorang jejaka yang tampan.

Puteri Walinong Sari yang melihat perkara itu telah jatuh cinta terhadap sang putera.

Ayah Raja Mambang Segara, Raja Laksamana Petir yang melihat peristiwa di puncak Gunung Tahan itu berasa sangat malu dan marah akan tindakan anak lelakinya itu lalu melontarkan amarahnya dengan mengunakan petir dan kilat yang telah melenyapkan anaknya yang pengsan itu.

Pada malam itu, Puteri Walinong Sari telah bermimpi mendapat petunjuk untuk mencari sang putera di puncak Gunung Tahan. Semenjak itu, tiada lagi kedengaran kisah tentang Puteri Walinong Sari.

 

KECELARUAN MAKLUMAT

Kebanyakannya yang tahu tentang kisah Puteri Walinong Sari ini telah mengalami kecelaruan maklumat antara Puteri Walinong Sari dan Puteri Wanang Sari.

Ramai yang beranggapan bahawa Puteri Walinong Sari ini dan Puteri Wanang Sari ini adalah orang yang sama.

Namun, menurut sumber yang boleh dipercayai, kedua-dua puteri ini merupakan dua orang yang berbeza. Sejauh mana kebenaran itu, Wallahu’alam.

 

LAGU RAKYAT NYANYIAN DATO’ SERI SITI NURHALIZA

Penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza telah menyanyikan lagu rakyat Pahang ini yang berjudul Walinongsari. Lagu ini telah diselitkan dalam album duet Seri Balas pada tahun 1999.

Lirik lagu rakyat Walinongsari ini seperti berikut:

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Datangnya dari puncak gunung Tahan
Puncak gunung Ledang, gununglah Banang

Turunlah bermain di taman sayang
Memetik bunga-bunga, menyusun bunga-bunga
Di dalam taman

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Pandai menyabung pandai
Bersilat gayung, melambung lembing
Pandai melambung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datanglah mari
Datang membawa talam
Datanglah mari

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa turun
Membawa payung
Payung berwarna kuning
Membawa payung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa talam
Talam dari kayangan
Membawa talam

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Puteri yang cantik dari gunung Banang
Dari gunung Tahan, gununglah Ledang
Turunlah hai tuan

Turun segera
Memetik bunga-bunga
Menyusun bunga-bunga
Di dalam taman
Puteri yang cantik
Hai… dari kayangan

 

HIKAYAT YANG BERTERUSAN

Sehingga ke harini, rakyat Pahang khususnya menghargai dan mempercayai cerita rakyat yang satu ini.

Ramai yang beranggapan bahawa puteri Walinong Sari ini dan Raja Mambang Segara ialah orang bunian. Sejauh mana kebenaran itu, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui.